Penyertaan penjawat awam Cina bukan ancaman

Chia Zhen ketika sesi penggulungan di Sidang DUN Kedah, pada Rabu.
Chia Zhen ketika sesi penggulungan di Sidang DUN Kedah, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Penyertaan kaum Cina dalam perjawatan awam tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada orang Melayu.

Exco Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam, NGO negeri, Wong Chia Zhen berkata, penyertaan kaum Cina, India dan Siam dalam sektor awam akan menguntungkan kerajaan kerana menyumbang secara langsung kepada pembangunan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Menurutnya, jurang antara masyarakat akan dapat dieratkan sekiranya terdapat penambahan kaum minoriti tersebut dalam sektor awam.

“Orang Melayu tidak perlu khuatir, ramai agensi berkaitan memberi maklum balas positif kepada saya untuk mempromosikan jawatan kosong kepada kaum Cina.

“Penjawat awam ini akan menjadi ejen untuk menerangkan dasar kerajaan kepada kenalan (kaum) mereka,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Chia Zhen berkata, semua pihak seharusnya memberikan tumpuan kepada pembangunan modal insan dengan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat.

“Saya ingin menyeru kepada ahli-ahli Dewan supaya tidak mengambil pendirian sempit dan tidak konstruktif. Rakyat di negeri ini hidup bersama dengan harmoni, kita tidak perlu ada sentimen yang memecah-belahkan seperti itu,” ujarnya.

Menurutnya, adalah tidak tepat sekiranya dikatakan kaum Melayu tidak mampu bertahan dalam sektor swasta, kerana mereka juga berdaya saing malah menjadi antara yang berprestasi tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Kenyataan UMNO Kedah berhubung isu berkenaan juga dipersoal kerana parti itu dikenali sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan untuk semua rakyat.

“Nampaknya mereka terlalu terdesak untuk menangkan hati rakyat selepas pilihan raya sehingga mengeluarkan kenyataan seperti ini. Mungkin ini sebabnya UMNO tidak menang satu kerusi pun di Kedah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kerajaan perlu memikirkan cara bagi meningkatkan lagi kualiti dan faedah penjawat awam bukannya semata-mata memberi tumpuan menambah kemasukan kaum Cina sebagai penjawat awam.

Katanya, tindakan kerajaan galakkan kemasukan kaum Cina kononnya disebabkan minat mereka kurang untuk menjadi penjawat awam.

Dalam pada itu, Chia Zhen berkata, cadangan untuk mewujudkan peruntukan berupa elaun kepada sami di 38 buah Wat Siam di seluruh negeri ini akan dipertimbangkan.

“Tiada elaun diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi semua sami kaum Siam, termasuk ketua-ketua agama bagi masyarakat kaum Cina dan India di negeri ini.

“Namun, saya lihat perkara ini dapat dipertimbangkan untuk diberikan peruntukan khusus berkaitan keagamaan serta manfaat lain kepada semua kaum pada masa akan datang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!