Sektor awam: Galakkan kaum India dan lain-lain, bukan kaum Cina sahaja - Dr Akmal

Tangkap layar hantaran Dr Akmal di Facebook pada Rabu.
Tangkap layar hantaran Dr Akmal di Facebook pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta kerajaan supaya tidak hanya menggalakkan kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam, tetapi kaum India dan lain-lain juga.

Beliau berkata, keutamaan galakan itu termasuk golongan dalam bidang ketenteraan yang kurang penyertaannya di kalangan bukan bumiputera.

“Pertamanya, bukan galak kepada kaum Cina sahaja.

“Ia patut digalakkan kepada kaum India dan kaum-kaum yang lain juga,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian mengenai kerajaan mengadakan kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam yang diadakan di seluruh negara bermula di Melaka.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri iaitu Chan Ming Kai sebelum ini memaklumkan, ia diadakan berikutan jumlah kaum Cina yang berminat untuk menjadi penjawat awam agak rendah.

Jelasnya, kempen anjuran bersama oleh Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Media Chinese International Limited itu akan dilaksanakan di Kuantan pada 16 Mac diikuti Petaling Jaya, Segamat, Muar, Johor Bahru, Pontian, Kluang, Ipoh, Taiping, Teluk Intan, Butterworth serta Kangar.

Dalam pada itu, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut meminta kerajaan untuk menghalang mana-mana syarikat swasta di negara ini melakukan syarat pengambilan pekerja berdasarkan kaum sendiri sahaja atau keperluan berbahasa selain penggunaan Bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan satu aliran juga mesti dilaksanakan,” ujar beliau lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28