LKAN: 16 syor tambah baik pengurusan kewangan agensi Persekutuan

Wan Suraya
Wan Suraya
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengemukakan 16 syor kepada agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, antara cadangan tersebut adalah ketua agensi Persekutuan perlu mengemukakan penyata kewangan untuk diaudit dalam tempoh yang ditetapkan.

Tambah beliau, pinjaman dibuat oleh agensi Persekutuan juga perlu dijelaskan mengikut ketetapan jadual bayaran balik supaya tidak membebankan kerajaan yang terpaksa menanggung kos kewangan melebihi tempoh sepatutnya.

“Selain itu, memastikan geran dibelanjakan mengikut tujuan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Mengkaji semula penubuhan syarikat subsidiari yang dorman dan mengalami kerugian serta tidak memberi pulangan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan LKAN pada Rabu.

LKAN Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 itu dibentang selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan taklimat turut diberikan berhubung isu utama laporan terbabit kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Wan Suraya memaklumkan, setakat 11 Januari lalu, sebanyak 140 daripada 144 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi 2022 telah dikemukakan untuk pengesahannya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 130 penyata agensi Persekutuan selesai pensijilan manakala empat lagi masih belum mengemukakannya disebabkan gangguan rangkaian sistem kewangan dan kelewatan pelantikan pengerusi lembaga pengarah.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 116 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan tahun 2022 telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion).

“Sebanyak 14 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan diberi Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai (Modified Opinion), iaitu 13 Pendapat Berteguran dan satu Pendapat Bertentangan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Wan Suraya turut menjelaskan agensi Persekutuan lemah dari segi penyediaan penyata kewangan juga diberikan perhatian dalam pembentangan LKAN kali ini terutamanya kategori yang memperoleh Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dari 2020 hingga 2022.

Hal ini kerana menurutnya, agensi-agensi berkenaan tidak mematuhi piawaian perakaunan, penyelenggaraan rekod yang lemah dan mempunyai masalah sistem kewangan.

Bagi Analisis Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022, Wan Suraya berkata, daripada 130 penyata kewangan beraudit, perhatian khusus perlu diberikan kepada 80 agensi Persekutuan yang mencatatkan lebihan semasa RM54.67 bilion dan 50 agensi Persekutuan merekodkan kurangan semasa sebanyak RM4.57 bilion.

“Sebanyak 126 agensi Persekutuan mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti manakala empat agensi Persekutuan menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset.

"Sebanyak 86 agensi Persekutuan menerima geran mengurus dan pembangunan daripada kerajaan berjumlah RM27 bilion, manakala 83 agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan terkumpul yang belum dilunaskan sebanyak RM25.5 bilion.

"Sepuluh agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122 bilion, empat daripadanya ada baki pinjaman kerajaan RM5.33 bilion, manakala tiga daripada empat tersebut telah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman," ulasnya.

Wan Suraya juga memberitahu, 53 agensi Persekutuan mempunyai 234 syarikat subsidiari dengan nilai pelaburan RM56 bilion dan daripada jumlah itu, 212 berstatus aktif manakala 22 adalah dorman.

“Sebanyak 121 syarikat subsidiari mencatatkan keuntungan manakala 91 daripadanya mengalami kerugian dan hanya 66 daripada 212 syarikat subsidiari yang aktif telah membayar dividen kepada agensi Persekutuan berjumlah RM1.9 bilion pada 2022,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!