Tempoyak ikan patin, asam rong diiktiraf makanan warisan sejak 2009

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Masakan tradisional Pahang, gulai tempoyak ikan patin dan gulai asam rong antara 98 makanan yang diiktiraf Jabatan Warisan Negara sebagai Objek Warisan Tidak Ketara Warisan Kebangsaan sejak 2009.

Selepas 15 tahun, menu makanan tradisional berasal dari Pahang Barat khususnya Jerantut dan Temerloh itu kembali dicadangkan agar diiktiraf sebagai makanan warisan negara.

Cadangan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin di Dewan Rakyat itu dipercayai susulan pengiktirafan bak kut teh sebagai antara 10 hidangan diwartakan sebagai makanan warisan negara dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024.

Umum maklum, daerah Temerloh begitu terkenal dengan masakan ini sehingga menerima jolokan sebagai bandar ikan patin.

Walaupun menu itu sudah popular di negara ini, namun bagi penggemarnya mereka sanggup ke Temerloh untuk menikmati keaslian masakan itu.

Ia sekali gus membuktikan gulai ikan patin masak tempoyak sudah menjadi makanan ikonik daerah Temerloh dan sebagai salah satu daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara ke daerah itu.

Berbeza pula dengan gulai asam rong salah satu makanan tradisional bagi masyarakat di daerah Jerantut itu.

Masakan berasaskan asam rong yang diperbuat daripada biji buah getah yang diproses itu mungkin masih asing bagi masyarakat luar kecuali penduduk beberapa daerah di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Walaupun makanan unik itu telah diiktiraf dan tersenarai sebagai Objek Warisan Tidak Ketara Warisan Kebangsaan sejak 2009, ia perlu terus dipromosi secara lebih meluas kepada masyarakat umum di negara ini.

Bagaimanapun, keaslian masakan ini juga perlu eksklusif kepada daerah Jerantut sebagaimana Temerloh dengan gulai masak tempoyak ikan patinnya.

Selain itu, beberapa makanan tradisional terkenal di negeri ini seperti puding raja juga telah disenaraikan untuk kategori Objek Warisan Tidak Ketara Warisan Kebangsaan sejak 2O12.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28