Bapa tuntut ganti rugi RM3 juta daripada universiti

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Satu tuntutan ganti rugi sebanyak RM3 juta telah difailkan oleh seorang bapa terhadap sebuah universiti selepas anak perempuan bongsunya meninggal dunia akibat renjatan elektrik di bilik asrama, dua tahun lalu.

Universiti tersebut dinamakan sebagai defendan susulan kematian pelajar berusia 21 tahun itu, menerusi writ saman difailkan firma guaman, Tetuan M Manoharan & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 28 Februari lalu.

Berdasarkan penyataan tuntutan difailkan bersama writ, bapa mangsa selaku plaintif berkata, anaknya itu ditemukan terbaring tidak bernyawa di lantai bilik berkenaan pada 21 Mei 2022.

Menurutnya, siasatan dijalankan polis dan bedah siasat oleh pegawai perubatan ke atas mayat pelajar menyimpulkan punca kematian mangsa adalah renjatan elektrik.

"Selanjutnya, Mahkamah Sesyen Alor Setar bertindak di bawah Seksyen 333 Kanun Tatacara Jenayah memastikan bahawa renjatan elektrik adalah punca kematian perempuan berkenaan.

"Perkara ini disahkan dalam surat bertarikh 1 Februari 2023 daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar kepada plaintif," katanya.

Bapa mangsa berusia 55 tahun itu berkata, universiti dan pelajar terbabit mempunyai hubungan istimewa dan defendan bertanggungjawab memastikan keselamatan anaknya itu daripada tidak terkena renjatan elektrik di bilik berkenaan.

"Plaintif menyatakan bahawa defendan sebagai pemilik asrama itu mempunyai kewajipan berkanun kepada semua penghuninya yang sah di bawah peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 untuk menyenggara elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Melanggar kewajipan berjaga-jaga dan berkanunnya, defendan gagal memastikan pelajar selamat daripada terkena renjatan elektrik dan gagal menyelenggara pemasangan elektrik secara betul hingga menyebabkan anaknya terkena renjatan yang mengakibatkan kematiannya," katanya.

Berhubung butiran keingkaran kecuaian pula, plaintif berkata, defendan gagal mengambil langkah penjagaan munasabah untuk memastikan mangsa adalah semunasabahnya selamat ketika menggunakan bilik itu khususnya memastikan penggunaan yang selamat bagi kelengkapan serta peralatan elektrik di dalamnya.

Menurutnya, defendan didakwa gagal mengambil mana-mana langkah penjagaan munasabah untuk mengelakkan kecederaan, kerosakan atau kematian daripada renjatan elektrik.

"Menyebabkan atau membenarkan peralatan elektrik khususnya lampu dinding atau peralatan lain yang rosak dalam bilik berkenaan menjadi dan kekal dalam keadaan rosak serta berbahaya.

"Kegagalan untuk menggantikan atau membaiki lampu dinding elektrik atau peralatan lain yang rosak, selain mengambil langkah yang munasabah untuk menjadikan perkakas itu selamat digunakan.

"Gagal mengambil langkah mencukupi sama ada melalui pemeriksaan berkala untuk memastikan pemasangan elektrik berada dalam keadaan yang secara munasabah adalah selamat, tidak rosak atau berbahaya," ujarnya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28