Polis rakam keterangan Abdul Hadi esok

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dirakam keterangan berhubung kenyataan bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada Selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, rakaman percakapan Presiden Pas itu dibuat susulan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Keterangan Abdul Hadi akan dirakam di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pada jam 2.30, Selasa (esok).

"Polis menerima makluman daripada pegawai khas beliau berkaitan keadaan kesihatan beliau," katanya pada Isnin.

Sebelum ini, Razarudin menyatakan pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Presiden Pas itu.

Pada Khamis, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada 20 Februari lalu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada beliau (Abdul Hadi) menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri," katanya dalam satu kenyataan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28