Masa pengguna tunjuk kuasa - Fomca

Saravanan (kiri), Laporan Sinar Harian.
Saravanan (kiri), Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Memboikot dan melaporkan peniaga yang bertindak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan kadar melampau antara perkara wajar dilakukan orang ramai bagi ‘menunjukkan’ kuasa sebagai pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah berkata, langkah itu perlu bagi memberi pengajaran kepada peniaga tamak yang mengambil kesempatan sejak kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan.

Menurutnya, pihaknya sendiri menerima banyak aduan daripada pengguna bahawa terdapat kenaikan harga makanan dan barangan lebih daripada yang dijangkakan.

“Aduan bukan hanya melibatkan peniaga makanan atau barangan tidak terlibat kenaikan SST, tetapi walaupun dikenakan SST, ada peniaga sengaja naikkan harga melebihi kadar yang ditetapkan kerajaan.

“Jadi kalau terdapat isu-isu begini, sebagai pengguna lapor terus kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

“Paling penting elakkan berbelanja di kedai tersebut kerana peniaga sengaja ambil kesempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas amaran diberikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh kepada peniaga yang tidak terlibat dengan kenaikan SST agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan bagi mengaut lebih keuntungan.

Ini kerana tindakan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, dalam keghairahan pengguna untuk menunjukkan kuasa, penting agar tidak keterlaluan dan mengikut emosi semata-mata tanpa memikirkan impak buruk yang boleh berlaku.

“Sekarang zaman suka tular di media sosial. Jadi sebagai pengguna, jangan terus tularkan. Jangan ikut emosi, tapi ikut undang-undang sedia ada.

“Laporkan sahaja kerana KPDN ada kuasa untuk turun padang untuk siasat dan ambil tindakan seterusnya. KPDN juga perlu terus aktif,” katanya.

Tambah beliau lagi, pengguna juga boleh memainkan peranan mendidik peniaga dengan menjelaskan kesalahan yang dilakukan sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Mungkin ada peniaga yang tidak peka, jadi sebagai pengguna, kita boleh beri nasihat kepada mereka berkenaan ketetapan kerajaan kerana tidak semua peniaga faham maklumat,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28