Wan Rosdy dedah formula Pahang tingkat hasil melebihi RM1 bilion

KUALA LIPIS - [DIKEMAS KINI] Pengurusan ketirisan dan kebocoran hasil, penguatkuasaan serta kecekapan pentadbiran antara tiga formula utama yang digunakan kerajaan negeri Pahang sehingga berjaya meningkatkan kutipan hasil melepasi RM1 bilion.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha berkenaan turut disokong kecekapan pegawai daerah dan barisan pentadbiran negeri dalam memastikan kutipan hasil, termasuk bayaran daripada pemegang tanah serta tunggakan, dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, penubuhan syarikat berkaitan kerajaan negeri turut membantu menjana pendapatan tambahan menerusi keuntungan yang disumbangkan semula kepada kerajaan negeri.
"Angka RM1 bilion ini sudah lima tahun Alhamdulillah. Antaranya, ialah kita uruskan ketirisan, kebocoran dan dalam masa yang sama juga penguatkuasaan serta kecekapan pentadbiran, pengurusan kewangan.
"Dari segi ketirisan dan kebocoran, kita satu bahawa Pahang satu ketika dahulu banyak aktiviti tidak sihat ini. Ini sebenarnya merugikan kerajaan negeri. Malah, ada pihak-pihak tertentu tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan.
"Namun, negeri Pahang ini negeri berdaulat, Raja berdaulat, mana mungkin tanah-tanah diceroboh, jadi kita telah ambil tindakan," katanya pada Program Town Hall Rakyat (THR) Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan) yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Isnin.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut memperketat penguatkuasaan bagi membendung aktiviti yang boleh menyebabkan kehilangan hasil, termasuk pencerobohan tanah haram, pembalakan haram dan kecurian pasir.
Katanya, usaha itu penting bagi melindungi khazanah negeri serta memastikan sumber dan hasil kerajaan tidak terjejas.
Wan Rosdy berkata, kejayaan melaksanakan usaha berkenaan turut bergantung pada kerjasama seluruh pasukan pentadbiran negeri yang bekerja secara bersama bagi mencapai matlamat ditetapkan.
“Kita bukan sahaja pasukan yang kuat, malahan kita bekerja sebagai satu keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, kongsi Wan Rosdy, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha memulangkan hasil negeri kepada rakyat menerusi Inisiatif Makmur Pahang.
Menurutnya, peruntukan inisiatif berkenaan berjumlah RM50 juta pada 2024 dan 2025 sebelum meningkat kepada RM80 juta pada 2026, manakala peruntukan bagi 2027 dijangka melebihi RM80 juta.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan hasil yang diperoleh dapat dimanfaatkan rakyat menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

