Jangan benarkan himpunan motosikal jika tak boleh berdisiplin

Merak Jalanan berharap kerajaan menimbangkan untuk tidak memberi kebenaran acara himpunan motosikal kecuali jika peserta dapat berdisiplin.
Merak Jalanan berharap kerajaan menimbangkan untuk tidak memberi kebenaran acara himpunan motosikal kecuali jika peserta dapat berdisiplin.
A
A
A

PADA hujung minggu lepas, ada program khusus dianjurkan untuk menghimpunkan mat motor di Kuantan Pahang.

Selain berkumpul, Merak Jalanan difahamkan, program itu juga untuk mendidik peminat dan penunggang motosikal menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan mematuhi peraturan.

Kehadiran lebih 50,000 peserta di perhimpunan itu juga tentunya dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan ekonomi kawasan sekitar.

Namun yang menyedihkan, program tersebut turut menjadi antara faktor kematian dua penunggang motosikal yang dalam perjalanan menghadiri perhimpunan berkenaan.

Seorang penunggang motosikal dalam perjalanan menghadiri program itu maut dalam kemalangan di Kilometer 156.9 Lebuh Raya Pantai Timur.

Tidak sampai 24 jam sebelum itu, seorang peniaga pasar malam yang dalam perjalanan ke program sama turut maut selepas terbabas di Kilometer 166.6 lebuh raya sama.

Dalam perjalanan ke perhimpunan itu, kebanyakan peserta yang datang dari serata negeri biasanya akan berkonvoi secara beramai-ramai sekali gus meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.

Selain itu, terdapat juga beberapa aksi berbahaya seperti ‘superman’, ‘wheelie’ dan berlumba sesama sendiri yang berjaya dirakam dan tular di media sosial. Biasalah masing-masing nak tunjuk hero.

Artikel Berkaitan:

Itu belum lagi motosikal yang 'tak cukup sifat' seperti tiada cermin sisi, ekzos bising, tiada nombor plat, tayar tak ikut spesifikasi dan sebagainya.

September depan, satu lagi himpunan motor RXZ akan diadakan di Terengganu. Merak Jalanan yakin, akan ada peserta yang terkorban di jalanan.

Justeru, Merak Jalanan berharap kerajaan menimbangkan untuk tidak memberi kebenaran acara himpunan motosikal seumpama ini diadakan.

Kecuali jika peserta dapat mengawal diri di atas jalan raya, berdisiplin dan memastikan motosikal dalam keadaan baik dan mengikut undang-undang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28