Subuh Macam Jumaat: Lebih 1,500 peserta RXZ Fighter imarah masjid

Fadzli bersama peserta yang mengikuti Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Sabtu.
Fadzli bersama peserta yang mengikuti Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Lebih 1,500 peserta RXZ Fighter mengambil peluang untuk mengikuti program islamiah menerusi Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Sabtu.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, tanggungjawab kepada agama tidak diabaikan walaupun para peserta bersemangat untuk berhimpun pada program RXZ Fighter yang diadakan di Serambi Teruntum di sini.

"Dalam suasana gembira untuk menjayakan himpunan RXZ Fighter ini, jangan sekali-kali kita lupa amanah dan tanggungjawab kita sebagai hamba ALLAH di muka bumi ini.

"Hari ini kita disambut meriah oleh jawatankuasa masjid negeri yang menyediakan makanan bagi meraikan peminat RXZ yang hadir dari seluruh negara di Kuantan sempena event RXZ Fighter ini," katanya.

Beliau turut hadir pada Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Peserta RXZ Fighter ikuti program islamiah menerusi Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Sabtu.
Peserta RXZ Fighter ikuti program islamiah menerusi Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Sabtu.

Hadir sama, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah dan solat Subuh telah diimamkan oleh Imam 1 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Muhammad Izzan Idris Al-Hafiz.

Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat dimeriahkan lagi dengan kuliah Subuh yang disampaikan Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin.

Artikel Berkaitan:

Di sekitar pekarangan masjid negeri dipenuhi motosikal RXZ dan pelbagai jenis motosikal lain yang dilihat menyambut baik Program Santunan Subuh Macam Jumaat.

Selepas Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat, peserta RXZ Fighter berhimpun di Serambi Teruntum bagi mengikuti pelbagai acara dan pengisian yang telah diatur pihak penganjur.

Antaranya Pertandingan Airbrush, Pertandingan Dyno Fighter, Sesi Taklimat Keselamatan, Konvoi VVIP ke Serambi Teruntum diikuti acara kemuncak Majlis Perasmian RXZ Fighter dan cabutan bertuah.

Selain di masjid negeri, Subuh Warrior Subuh Macam Jumaat turut berlangsung di Masjid Kampung Padang.

Dalam perkembangan sama, Fadzli turut mengingatkan peserta RXZ Fighter menghormati pengguna jalan raya lain.

"Apa pun kita mesti hormat kepada orang tua, hormat kepada pengguna jalan raya yang lain dan jangan lupa tanggungjawab dan amanah sebenar kita sebagai hamba ALLAH di muka bumi ini," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28