RXZ Fighter: Pembantu jualan maut bergesel lori

Pembantu jualan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai bergesel dengan lori ketika dalam perjalanan menyertai acara RXZ Fighter Kuantan pada Sabtu. Foto PDRM
Pembantu jualan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai bergesel dengan lori ketika dalam perjalanan menyertai acara RXZ Fighter Kuantan pada Sabtu. Foto PDRM
A
A
A

MARAN - Hasrat seorang pembantu jualan menyertai RXZ Fighter 2024 di Kuantan berakhir dengan tragedi selepas maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 156.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira 8.10 pagi itu, mangsa, Mohammad Sharfie Sukri,21, yang beralamat Kampung Sri Jaya Semporna, Sabah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kemalangan terbabit melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan lori jenis Scania.

Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan daripada Petaling Jaya, Selangor menghala ke Kuantan bergesel dengan sebuah lori di laluan yang sama..

"Akibat kejadian itu, mangsa telah tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil temu bual awal bersama rakan-rakan mangsa di tempat kejadian mendapati mangsa bersama kira-kira 10 buah lagi motosikal yang lain berkonvoi dari Petaling Jaya menghala ke Kuantan untuk menghadiri program RXZ Fighter," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan: