Virus baharu punca wabak misteri pneumonia

Sebanyak 15 keputusan menunjukkan positif virus korona baharu telah dikesan di makmal melalui ujian terhadap beberapa sampel. - Foto Agensi
Sebanyak 15 keputusan menunjukkan positif virus korona baharu telah dikesan di makmal melalui ujian terhadap beberapa sampel. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - China percaya wabak misteri pneumonia atau radang paru-paru yang menyerang 59 individu disebabkan oleh virus baharu daripada kelompok sama seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang telah meragut ratusan nyawa lebih sedekad lalu.

Agensi berita Xinhua memetik kenyataan ketua saintis, Xu Jianguo melaporkan pakar telah mengenal pasti virus korona jenis baharu di sebalik wabak tersebut yang disahkan buat pertama kali di Wuhan pada 31 Disember lalu.

Laporan awal telah mencetuskan kebimbangan tentang serangan semula wabak SARS dan mendorong pihak berkuasa di Hong Kong yang terjejas teruk diserang SARS pada 2002-2003 untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk meningkatkan langkah penyahjangkitan pada pengangkutan awam termasuk pemeriksaan terhadap penumpang.

"Sebanyak 15 keputusan menunjukkan positif virus korona baharu yang telah dikesan di makmal melalui ujian terhadap sampel darah dan spesimen pada tekak," kata Jianguo.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan turut mengesahkan penemuan awal virus korona baharu tersebut.

"Pemeriksaan lanjut diperlukan untuk menentukan sumber, cara penghantaran, tahap jangkitan dan tindak balas yang dilaksanakan," kata Wakil WHO di China, Gauden Galea.

Ahad lalu, Suruhanjaya Kesihatan Wuhan memaklumkan tujuh daripada 59 pesakit sakit teruk dan dikuarantinkan.

Menjelang kelmarin, lapan daripadanya dilaporkan sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital. - AFP

Artikel Berkaitan: