Semua pihak diingatkan tidak ulas kes lucah Hot Daddy - Hakim

Hasli Ikhwan (kanan) memakai kemeja berwarna hitam hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin, bagi menghadapi satu pertuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.
Hasli Ikhwan (kanan) memakai kemeja berwarna hitam hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin, bagi menghadapi satu pertuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, mengingatkan semua pihak termasuk lelaki yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ bersama dua rakan wanitanya berhubung suatu video lucah, supaya tidak membuat kenyataan yang boleh memprejudiskan kesnya.

Hakim, Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah berkata demikian ketika sebutan kes pengiklanan khidmat persundalan dihadapi dua penganggur, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, dan Norhidayah Mahadi, 24, serta pengurus syarikat swasta, Norshazrina Md Zamri, 27.

“Saya ingatkan semua pihak tidak boleh buat kenyataan berhubung kes yang sedang berlangsung.

“Ia boleh menyebabkan subjudis kepada kes yang dijalankan,” katanya selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif menimbulkan isu tersebut.

Semasa prosiding, Nidzuwan memohon peringatan diberi bukan sahaja kepada pasukan pendakwaan malah barisan pembelaan, tertuduh dan orang awam, supaya tidak mengulas prosiding kes, di luar mahkamah.

Menurutnya, ia boleh membangkitkan pelbagai persepsi dalam kalangan media atau publik sebelum perbicaraan sebenar dijalankan.

“Ini akan menimbulkan persepsi dan subjudis (berat sebelah) yang menyebabkan perbicaraan luar mahkamah dibuat oleh golongan media dan orang awam,” katanya.

Pada bulan lalu, sekeping gambar memaparkan 'Hot Daddy' tular, selepas dipercayai dijemput ke sebuah program podcast sehingga menimbulkan bantahan dalam kalangan umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu mendapat teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dengan menyuarakan kebimbangan sekiranya tindakan itu akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak.

Dalam pada itu, pada 7 Februari lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tiada sebarang video rakaman platform audio siar atau podcast, menjemput seorang lelaki yang dikaitkan dengan perkhidmatan persundalan ditemui di mana-mana media sosial.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan juga tidak menemui sebarang rakaman video berkenaan.

Bagaimanapun beliau menasihati penyedia kandungan platform audio siar (podcasters) agar berpada-pada dan melakukan kawalan kendiri dalam mencipta kandungan.

Pada 26 Januari, Hasli Ikhwan, Norhidayah dan Norshazrina didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X di Pejabat D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini, pada jam 10.10 pagi, 16 Januari lalu.

Pada 4 Mac, mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu lagi pertuduhan bersama-sama menjual rakaman video lucah bagi maksud menunjukkan secara awam, di lokasi sama,antara jam 11.47 dan 11.54 malam, 15 Januari lalu.

Hasli Ikhwan dan Norhidayah juga didakwa di Mahkamah Sesyen, atas satu pertuduhan memiliki bahan lucah yang bertentangan dengan kesopanan awam di pejabat sama, pada jam 4 petang, 22 Januari lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28