Sekat individu terlibat aktiviti persundalan dari media sosial

Individu yang didakwa terlibat dalam aktiviti persundalan perlu disekat dari media sosial. Gambar kecil: Mohd Faiz
Individu yang didakwa terlibat dalam aktiviti persundalan perlu disekat dari media sosial. Gambar kecil: Mohd Faiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mana-mana individu yang didakwa terlibat dalam aktiviti persundalan perlu disekat dari media sosial kerana dikhuatiri akan mendedahkan aktiviti tidak sihat itu kepada masyarakat.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Terengganu, Mohd Faiz Zulkifli berkata, individu terbabit juga tidak wajar dibenarkan bergerak bebas lebih-lebih lagi melibatkan aktiviti yang cenderung ke arah mempromosikan kegiatan dilakukan.

"Saya ingin merujuk kepada kes yang hangat diperkatakan baru-baru ini membabitkan seorang lelaki tempatan dan beberapa wanita yang telah didakwa terlibat dalam aktiviti persundalan dan video lucah.

"Sepatutnya sesiapa yang dituduh melakukan kesalahan seperti itu tidak harus dibenarkan bergerak bebas dan perlu disekat dari liputan media sosial kerana dibimbangi akan mempromosikan kegiatan mereka kepada masyarakat secara langsung atau tidak langsung," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, kepentingan awam perlu diutamakan dengan menghadkan pergerakan tertuduh sehingga dibuktikan tidak bersalah.

Jelas beliau, mereka yang cuba menggunakan isu tersebut untuk kepentingan peribadi juga perlu dikenakan tindakan.

"Sesiapa yang didapati menggunakan isu ini sebagai aktiviti promosi dan berkepentingan peribadi di samping memanipulasi keadaan ini ibarat menangguk di air yang keruh dan harus dikenakan tindakan undang- undang," katanya.

Pada 26 Januari lalu, seorang bapa kepada tiga anak yang tular di media sosial sebagai ‘Hot Daddy’ bersama dua rakan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas dakwaan membuat pengiklanan khidmat persundalan.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan bagi kes itu dibuat mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan tidak mengesan sebarang video memaparkan rakaman platform audio siar atau podcast menjemput seorang lelaki yang sebelum ini didakwa atas kesalahan mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, siasatan awal mendapati video tersebut mungkin tidak dimuat naik atau sudah diturunkan oleh platform terbabit.

Isu melibatkan 'Hot Daddy' hangat diperkatakan selepas sebuah laman web penstriman dikatakan menjemputnya ke podcast mereka.

Tindakan itu turut mendapat teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor yang dilaporkan bimbang ia akan menjurus kepada keruntuhan akhlak golongan remaja.