Berdaya bantu anak asnaf, mualaf ceria mulakan sesi persekolahan

Jawatankuasa Berdaya dan pengurusan Masjid Al-Falah merakam kenangan bersama sebahagian 50 anak asnaf dan mualaf yang ceria menerima sumbangan peralatan persekolahan.
Jawatankuasa Berdaya dan pengurusan Masjid Al-Falah merakam kenangan bersama sebahagian 50 anak asnaf dan mualaf yang ceria menerima sumbangan peralatan persekolahan.
A
A
A

PENDANG - Pelajar golongan asnaf dan mualaf tidak pernah dipinggirkan agar mereka lebih ceria menyambut penggal baharu persekolahan yang akan bermula minggu depan.

Setiausaha Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (Berdaya), Aida Rozita Mokhtar berkata, golongan asnaf dan mualaf perlu diberikan sokongan dalam membantu mereka mengukuhkan jati diri serta daya saing dalam mengharungi kehidupan harian.

Menurutnya, seramai 50 anak asnaf dan mualaf sekitar daerah Pendang dan Pokok Sena menerima bantuan persekolahan untuk sesi pertama ini.

“Sebagai NGO berpangkalan di Kedah, kami prihatin dengan insan yang memerlukan sumbangan. Penerima bantuan diuruskan dengan kerjasama beberapa pendakwah Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan pengurusan Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang.

“Antara bantuan berupa beg sekolah, alat tulis, botol air serta wang tunai kepada 24 murid sekolah rendah dan 26 murid sekolah menengah terpilih. Walaupun bantuan ini tidak seberapa, ia adalah tanda ingatan kami,” katanya di sini pada Ahad.

Aida Rozita berkata, walaupun golongan berkenaan telah diberikan bantuan tertentu oleh agensi kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri, sumbangan dari NGO dan orang perseorangan masih diperlukan untuk membolehkan mereka hidup dengan lebih selesa.

“Berdaya menggunakan dana persendirian selain mendapat sumbangan pihak lain antaranya, Ardeeta Bakery Changlun untuk membolehkan murid sekolah ini lebih ceria memulakan sesi persekolahan dengan peralatan sekolah yang baharu,” ujarnya.

Pendakwah LZNK yang juga ahli jawatankuasa Berdaya, Rosminah Mat Isa berkata, empat daripada penerima merupakan anak mualaf dari Sabah yang tinggal bersama nenek mereka di Kampung Pulau Keramat, Pokok Sena.

Artikel Berkaitan:

“Mereka tidak dapat belajar di sekolah kebangsaan kerana tiada pengenalan diri. Sebelum ini mereka belajar di Maahad Tahfiz Pendang atas inisiatif Pengerusinya, Mohd Zahir Abdul Rahman.

“Saya selaku guru sukarelawan yang mengajar akademik dan Fardu Ain usahakan untuk bantu keperluan mereka. Berdaya berurusan dengan Pejabat Pendidikan daerah Kota Setar dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah selama dua tahun, akhirnya tiga daripadanya berjaya memasuki sekolah rendah dan seorang lagi sekolah menengah bermula tahun ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penerima sumbangan lain termasuk empat beradik yatim piatu dari Alor Pudak, Pendang yang kehilangan bapa mereka 11 tahun lalu akibat sakit kronik, sementara ibu pula meninggal dunia dilanggar lori ketika mengambil anak dari Tadika.

“Banyak lagi kes anak-anak sebegini yang sarat dengan kisah sedih dan mereka perlu dibantu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Falah, Sharif Hashim mengalu-alukan mana-mana NGO yang berhasrat menggunakan kemudahan di masjid berkenaan untuk mengadakan aktiviti kebajikan.

“Kami bersedia menjadi perantara untuk laksanakan aktiviti kebajikan kepada golongan memerlukan.

“Pada masa sama, kita berdakwah kepada penerima, terapkan dalam hati mereka bahawa apa-apa bantuan walaupun daripada penderma, ia sebenarnya digerakkan oleh ALLAH SWT dan jangan lupa bersyukur kepada-Nya,” jelasnya.

Setiausaha Masjid Al-Falah, Azhar Abdul Ghani memaklumkan, masjid berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat setempat dalam usaha memakmurkan masjid yang merupakan masjid utama di Felda Sungai Tiang.

“Antaranya perkhidmatan Wi-Fi percuma di kawasan masjid dan bekalan air percuma. Kami peruntukkan RM25,000 untuk sediakan pusat memproses air ini, Alhamdulillah ia memberi manfaat bukan sahaja kepada anak kariah malah kepada masyarakat bukan Islam,” ujarnya.

Menurutnya lagi, perancangan lain termasuk menyediakan perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk ditempatkan di masjid berkenaan bagi kemudahan penduduk.