YP bantu anak Perak ke ‘menara gading’

A
A
A

Mohamad Hidayat risalah maklumat Insentif Siswa-YP yang membantu anak negeri melanjutkan pengajian ke IPT.
Mohamad Hidayat risalah maklumat Insentif Siswa-YP yang membantu anak negeri melanjutkan pengajian ke IPT.

IPOH - Anak Perak khususnya golongan pelajar cukup bertuah apabila kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak (YP) menyediakan insentif khas yang membantu mereka melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang diiktiraf.

Dikenali sebagai Insentif Siswa-YP, insentif tersebut telah dilaksanakan sejak tahun 2009 selepas dijenamakan semula daripada bantuan Dermasiswa yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak 15 tahun lalu.

Menurut Pengurus Pentadbiran YP, Mohamad Hidayat Abd Halim, Insentif Siswa-YP merupakan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pendidikan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

“Insentif ini diberikan kepada anak-anak Perak yang layak untuk meneruskan pengajian di IPT terpilih sama ada di dalam dan luar negara.

“Malah, YP turut membuat penambahbaikan untuk insentif ini daripada peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sehinggalah kepada Doktor Falsafah (PhD). Insentif ini juga telah dinaikkan kadar had layak bagi keluarga berpendapatan RM7,500 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Tambah Mohamad Hidayat, daripada Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 6,584 permohonan telah diluluskan YP daripada 8,283 permohonan yang diterima manakala jumlah keseluruhan insentif yang diberikan adalah sebanyak RM4.61 juta.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Setakat ini, pelajar yang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda merupakan yang tertinggi menerima Insentif Siswa-YP iaitu seramai 2,750 orang, diikuti diploma (2,297 orang), sijil (1,250 orang), diploma, sarjana (152 orang), diploma vokasional (148 orang), PhD (42 orang) manakala sijil vokasional seramai 24 orang.

Jelas beliau, permohonan Insentif Siswa-YP boleh dibuat menerusi dalam talian di laman web https://yayasanperak.gov.my/

Insentif Siswa-YP merupakan komitmen kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk memberi peluang kepada rakyat negeri itu yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Malah, insentif tersebut selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk meningkatkan pembangunan modal insan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Malah, dalam pelan turut meletakkan sasaran untuk menjadikan Perak sebagai hab pendidikan teknikal di negara ini.