Cuaca panas: 'Ada yang mandi sampai enam, tujuh kali'

Dari kiri: Zainudin, Mohd Husni, dan Fauzi
Dari kiri: Zainudin, Mohd Husni, dan Fauzi
A
A
A

POKOK SENA - Cuaca panas terik yang melanda daerah ini sehingga mencecah hampir 40 darjah Celsius menyebabkan ada penduduk terpaksa mandi sehingga tujuh kali sehari bagi meredakan rasa panas dan bahang.

Seorang penduduk, Zainudin Ramli, 58, mengakui keadaan cuaca ketika ini menyebabkan beliau tidak berasa selesa untuk berada di dalam rumah pada waktu siang.

"Kalau di rumah, tak boleh duduk di bahagian dalam, kena duduk di luar, kena cari pokok-pokok, tak boleh duduk seperti biasa.

"Kalau di kampung boleh buka baju. Kalau di taman perumahan, mahu tanggalkan baju macam mana kerana kalau keluar orang perhati tetapi mahu tidak mahu kena buka juga.

"Ada yang mandi enam hingga tujuh kali sebab panas, malam nak tidur pun gelisah sikit,” katanya yang ditemui pada Ahad.

Bagi Mohd Husni Hashim, 50, pula, beliau mengakui cuaca panas terik yang berlaku kini merupakan antara yang terpanas sejak mula menetap di sini kira-kira sembilan tahun lalu.

Menurutnya, rasa bahang boleh dirasai terutama mereka yang keluar pada waktu tengah hari untuk melaksanakan urusan masing-masing.

“Selama saya duduk di sini pada tahun 2016, tahun ini cuaca panas dan bahang cukup dirasai,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Fauzi Azizan, 32, pula berkata, beliau terpaksa menghidupkan empat buah kipas pada waktu malam bagi memastikan dapat tidur dengan selesa.

Mohd Fauzi (kanan) yang dibantu ibu bapanya mampu menghabiskan jualan sehingga tiga balang air setiap hari pada musim panas.
Mohd Fauzi (kanan) yang dibantu ibu bapanya mampu menghabiskan jualan sehingga tiga balang air setiap hari pada musim panas.

"Tahun lepas rasa ok sikit tetapi tahun ini panas lagi,” katanya yang merupakan penjual air balang.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak cuaca panas yang melanda negara ketika ini memberikan rezeki buat peniaga air sepertinya apabila dapat menjual sehingga tiga balang air setiap hari.

“Saya jual air seperti tebu, tembikai, laicikang, air kelapa, teh ais, teh bunga dan memang laris sangat.

"Kebiasaan nak habiskan satu-satu balang sehari pun susah tapi pada musim panas, tiga balang air dapat dijual sehari bagi setiap jenis air yang dijual,” ujarnya.

Pada Khamis, media melaporkan kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat jam 4.50 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Menurut kenyataan itu, suhu panas tahap berjaga-jaga turut direkod di 21 kawasan iaitu seluruh Perlis; Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang serta Baling di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Lokasi lain Kuala Kangsar (Perak), Petaling dan Sepang (Selangor), Kuala Lumpur serta kawasan Beaufort di Sabah dan Limbang, Sarawak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28