Harga perkhidmatan hotel di Negeri Sembilan masih berpatutan

Nicole (dua dari kiri) merasmikan MAH Negeri Sembilan Food Festival 2024 dan Pelancaran Buku Resipi Warisan Masakan Negeri Sembilan versi Bahasa Inggeris.
Nicole (dua dari kiri) merasmikan MAH Negeri Sembilan Food Festival 2024 dan Pelancaran Buku Resipi Warisan Masakan Negeri Sembilan versi Bahasa Inggeris.
A
A
A

PORT DICKSON - Harga perkhidmatan hotel di Negeri Sembilan masih lagi berpatutan meskipun kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus bermula 1 Mac lalu.

Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, sehubungan itu pihaknya berharap pengusaha hotel dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka bagi kepuasan pelanggan.

"Berdasarkan pengalaman saya selama 45 tahun dalam industri, setiap kali kenaikan berlaku sememangnya ada rungutan, namun lama kelamaan ia akan diterima juga.

"Bagi pelancong asing pula kita rasa tiada masalah kerana mata wang mereka lebih tinggi daripada kita, contohnya pelancong dari Singapura. Kenaikan sedikit harga ini tidak akan jadi isu buat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Perasmian MAH Negeri Sembilan Food Festival 2024 dan Pelancaran Buku Resipi Warisan Masakan Negeri Sembilan versi Bahasa Inggeris di sebuah hotel pada Sabtu.

Menurutnya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan dan pengusaha hotel telah cuba menyerap segala kos selama ini.

Ini kerana katanya, pengusaha juga tidak mahu perniagaan mereka rugi disebabkan tidak mendapat permintaan pelanggan.

Sementara itu Exco Pelancongan, Nicole Tan Lee Koon yang ditemui selepas merasmikan majlis berkata, pihaknya menjangkakan kenaikan tersebut tidak akan menjejaskan orang ramai untuk bercuti dan menginap di hotel-hotel di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Nicole mencuba menu buffet Ramadan disediakan pihak hotel pada majlis Peramian MAH Negeri Sembilan Food Festival 2024
Nicole mencuba menu buffet Ramadan disediakan pihak hotel pada majlis Peramian MAH Negeri Sembilan Food Festival 2024

Berkenaan Buku Resipi Warisan Masakan Negeri Sembilan yang dihasilkan MAH negeri ini, beliau berkata, ia boleh dijadikan cenderahati kepada pelancong.

"Saya difahamkan ada 100 resipi masakan tradisional Negeri Sembilan air tangan chef hotel-hotel di negeri ini dan ia sangat sesuai untuk dijadikan cenderahati kepada pelancong yang datang.

"Selepas ini saya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Muzium Negeri Sembilan dan Exco berkaitan untuk mengenal pasti makanan yang boleh melambangkan setiap luak di sini untuk dimasukkan di dalam buku resipi tersebut tetapi diolah dalam bentuk penceritaan, "katanya.

Beliau pada masa sama turut memberitahu, sedang mengenal pasti produk-produk makanan negeri ini yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai set cenderahati yang boleh dibeli pelancong.

"Jika berjaya, kita cadang setiap hotel menjual produk itu. Cuma saya sedang usaha memikirkan kaedah pembungkusan yang bersesuaian sekali gus membolehkan ia lebih tahan lama,"katanya.