Dunia korporat Melayu daif

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PASARAN kewangan yang sepatutnya menjadi tempat orang menabung, melabur dan mencari modal telah bertukar menjadi perangkap maut akibat penipuan.

Atas janji keuntungan, bermacam-macam scam (penipuan) sedang berlaku yang menyebabkan ramai orang terpedaya dan nama pasaran kewangan busuk.

Puncanya jelas. Penipu mempunyai pelbagai cara untuk menipu, sementara ramai orang yang berminat melabur pula tidak tahu apa-apa mengenai pasaran.

Seperti yang telah saya ceritakan, saya belajar melabur pada 1972 apabila bertugas di Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama mulai tahun itu.

Antara tugas saya adalah membuat laporan urus niaga di Pasaran Saham Kuala Lumpur dan Singapura atau lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur-Singapore Stock Exchange (KLSE) – ada dua bilik urus niaga.

Sebuah di Kuala Lumpur dan sebuah di Singapura. Bilik urus niaga Kuala Lumpur waktu itu di bangunan lama Bangkok Bank, tidak jauh dari Central Market.

Ketika itu, Central Market ialah pasar ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Pasaran saham dan pasar ikan berkongsi pelanggan iaitu tukang-tukang masak kepada orang kaya dan orang asing.

Wanita Cina yang sudah berusia itu sangat pandai dalam hal ‘bermain saham’. Pada masa itu, peraturan pasaran sangat terhad dan longgar. Boleh beli dengan berhutang menggunakan kaedah short-selling.

Artikel Berkaitan:

Kalau pandai dan bernasib baik, boleh buat duit tanpa membayar sesen pun selain komisen kepada broker. Beli Isnin dan jual Jumaat menggunakan kaedah tersebut.

Saya diajar oleh budak-budak floor traders, khususnya yang melakukan jual beli bagi pihak Amanah Saham Mara (ASM). Waktu itu ASM ialah tabung pelaburan paling cergas dan nampak jelas (visible) di pasaran.

Jadi, wartawan yang berminat buat duit poket untuk riadah hujung minggu boleh belajar daripada mereka untuk main saham secara ad-hoc dan kecil-kecilan.

Sampai hari ini pun saya masih ada akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) yang diperlukan untuk menjual beli saham di Bursa Malaysia tetapi sudah lama tidak berjual beli, selain menyimpan beberapa lot saham rugi.

Jadi, saya amat bersetuju dan menaruh harapan terhadap gesaan Ketua Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift agar semua pihak berkepentingan memikul tanggungjawab menambah baik celik kewangan (financial literacy) dalam kalangan pelabur tempatan.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun indeks celik dan kemampuan kewangan Malaysia (MyFlic) di atas landasan betul, namun ia perlu diberi keutamaan memandangkan perubahan persekitaran kewangan.

Antara ciri baharu perlu diperkenalkan secara besar-besaran ialah penggunaan teknologi agar selari perkembangan semasa dan menarik kepada generasi muda yang cekap teknologi.

Cuma saya ingin mengingatkan supaya semua pihak berhati-hatilah kerana teknologi canggih itu juga boleh disalahgunakan bagi menipu generasi baharu dan lama, yang tidak faham pasaran kewangan. Kebanyakan scam adalah melalui teknologi komunikasi.

Dalam konteks lebih menyeluruh, kegagalan memanfaatkan pasaran modal (capital market) terserlah apabila Pengerusi Bursa, Tan Sri Abdul Wahid Omar memberitahu Kongres Ekonomi Bumiputera bahawa hanya sebuah syarikat bumiputera disenaraikan dalam tempoh tiga tahun lalu, berbanding 96 bukan bumiputera. Itu pun bukan di papan utama (main board) tetapi di pasaran ACE.

Perkembangan itu memberi gambaran amat membimbangkan dan memalukan mengenai dunia korporat bumiputera.

Maka, adalah amat wajar dan mendesak bagi pengendali pasaran saham, khususnya Bursa Malaysia melibatkan lebih banyak pihak dalam usaha memulihkan dunia korporat dan mendidik bakal pelabur.

Bagi ahli politik Melayu pula, mereka wajib melihat dalam diri mereka sendiri dan bertanya, adakah perbuatan mereka menindas, memperalat serta memburuk-burukkan ahli korporat bangsa mereka sendiri menjadi punca kedaifan dunia keusahawanan Melayu?

Boleh jadi perbuatan mereka itu telah menyebabkan dunia korporat bumiputera terbantut dan usahawan bumiputera yang berjaya takut untuk menyenaraikan perniagaan mereka.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara