Pasaran kewangan domestik dipengaruhi sentimen pelabur global - BNM

No Image Caption
A
A
A

PASARAN kewangan domestik sebahagian besarnya dipengaruhi sentimen pelabur global pada bulan lepas, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu menjelaskan keadaan kewangan global terjejas terutama disebabkan kenaikan kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10 tahun apabila data ekonomi AS yang kukuh mendorong peningkatan jangkaan pelabur terhadap persekitaran kadar dasar yang lebih tinggi.

"Berlatarkan keadaan ini, kadar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 14 mata asas (purata serantau: +22 mata asas) manakala nilai ringgit menurun sebanyak 1.6 peratus berbanding nilai dolar AS (purata serantau: -0.3 peratus,” menurut BNM dalam kenyataan Perkembangan Monetari dan Kewangan Oktober 2023 yang dikeluarkan pada Khamis.

BNM memaklumkan bahawa FBM KLCI meningkat sebanyak 1.3 peratus berikutan sentimen pasaran ekuiti domestik yang lebih baik selepas Belanjawan 2024.

Menurut bank pusat, permodalan sistem perbankan juga kekal kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Nisbah modal secara amnya stabil, menyokong aktiviti pengantaraan kewangan bank-bank dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menampung kerugian yang tidak dijangka,” tambahnya.

BNM juga menekankan bahawa lebihan penampan modal sistem perbankan kekal kukuh pada RM132.6 bilion pada Oktober.

"Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 150.8 peratus (September 2023: 151.5 peratus. Agregat nisbah pinjaman kepada dana sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.2 peratus (September 2023: 82.5 peratus),” menurut bank pusat.

Artikel Berkaitan:

BNM memaklumkan bahawa kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 4.2 peratus pada akhir Oktober (September 2023: 4.2 peratus), disokong oleh pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan kredit yang lebih perlahan kepada perniagaan.

Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 1.0 peratus (September 2023: 1.6 peratus), disebabkan terutama oleh pertumbuhan yang lebih sederhana bagi pinjaman modal kerja dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana, jelasnya.

"Walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman PKS terkumpul masih menggalakkan pada 6.9 peratus (September 2023: 6.7 peratus). Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal pada 5.0 peratus,” tambahnya.

Menurut BNM, bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat sedikit kepada 5.6 peratus (September 2023: 5.4 peratus), disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

"Keadaan ini mencerminkan permintaan pinjaman yang lebih tinggi terhadap pinjaman isi rumah, terutama untuk pembelian rumah, kereta dan kegunaan peribadi,” jelas BNM. - Bernama