Lelaki ditahan selepas 40 minit dikejar polis

Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu suspek ditahan dalam satu sekatan jalan raya.
Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu suspek ditahan dalam satu sekatan jalan raya.
A
A
A

KUALA KRAI - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas mengejarnya kira-kira 40 minit di sekitar jalan Kuala Krai.

Pemangku Ketua Polis Kuala Krai, Deputi Superintenden, Kamarul Zaman Harun berkata, anggota dari Unit Peronda Kuala Krai mula mengejar suspek dari kawasan Batu Jong, Kuala Krai hingga ke simpang empat Lakloh.

Menurut beliau, kejadian berlaku jam 9.34 malam pada Jumaat ketika suspek berusia lingkungan 45 tahun yang memandu pacuan empat roda berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan apabila melalui satu sekatan jalan raya.

"Anggota polis kemudiannya mengarahkan lelaki itu memberhentikan kenderaan tetapi dia bertindak agresif kerana cuba melanggar anggota polis," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, lelaki itu bukan sahaja gagal mendengar arahan polis malah bertindak memecut kenderaannya untuk melarikan diri daripada sekatan.

Jelasnya lagi, anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi melumpuhkan pergerakan kenderaan terbabit.

"Polis kemudian memeriksa kenderaan suspek dan menemui satu bungkusan plastik berisi 162 biji pil disyaki methamphetamine serta sebilah parang panjang bersarung hitam.

"Ujian saringan awal urin turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Kamarulzaman berkata, suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Suspek juga akan disiasat bawah Sekyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!