Bazar Ramadan berisiko jadi punca peningkatan kes denggi

Dr Mohtar ( kiri) melawat reruai pameran Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat Negeri Johor, di Iskandar Puteri pada Sabtu.
Dr Mohtar ( kiri) melawat reruai pameran Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat Negeri Johor, di Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Aspek kebersihan di bazar Ramadan perlu diutamakan peniaga semasa dan selepas berniaga bagi mengelak wabak denggi.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut@Ahmad berkata, bazar Ramadan dikhuatiri menyumbang kepada risiko peningkatan kes denggi kerana kawasan jualan menjadi tumpuan orang ramai dan faktor cuaca.

Justeru, pengurusan sisa makanan dan longgokan sampah perlu dititikberatkan supaya tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk.

"Berdasarkan trend peningkatan kes jangkitan demam denggi dalam tempoh awal tahun ini, semenangnya lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"Oleh itu, seluruh anggota masyarakat perlu sama-sama menjaga kebersihan. Nampak kawasan sekitar kita bersih tetapi mungkin ada air yang bertakung di kawasan sampah," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat Negeri Johor, di sini pada Sabtu

Hadir sama Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Dr Sal Atan.

Sebelum ini, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, kumulatif kes denggi di Johor mencatatkan peningkatan 157 peratus pada minggu epid ke 07/2024 tahun ini dengan 2,555 kes direkodkan, berbanding 994 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, daripada jumlah kes dilaporkan, sebanyak 966 kes adalah dari lokaliti wabak dan 1,589 kes pula dari lokaliti bukan wabak.

Daerah yang mencatatkan kes tertinggi bagi pada Minggu Epid 07/2024 adalah Johor Bahru dengan 320 kes.

Mengulas lanjut, Dr Mohtar berkata, pembiakan nyamuk aedes hanya memerlukan satu sudu air jernih sudah mencukupi untuk membiak dengan pantas dalam tempoh seminggu.

"Kita jangkakan peningkatan kes denggi dan pembiakan nyamuk denggi aedes yang disebabkan pergerakan manusia, ditambah pula pada waktu cuti sekolah dan musim perayaan.

"Semua pihak perlu pastikan kebersihan menjelang bulan Ramadan ini," katanya.