MAIK tambah huffaz wanita

Mohamad Rizam (kanan) menandatangani plak merasmikan Maahad Tahfiz Al-Quran (Perempuan) MAIK di Pendek pada Sabtu.
Mohamad Rizam (kanan) menandatangani plak merasmikan Maahad Tahfiz Al-Quran (Perempuan) MAIK di Pendek pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran (MTQ) Perempuan pertama di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bakal meningkatkan jumlah huffaz wanita di negeri ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pengambilan pertama bagi sesi 2023/2015 membabitkan 10 pelajar berusia 19 dan 20 tahun.

Bagaimanapun beliau memberitahu, MAIK menyasarkan lebih ramai huffaz wanita iaitu 35 orang menjelang 2025.

Mohamad Rizam (kiri) meninjau asrama Maahad Tahfiz Al-Quran (MTQ) Perempuan di Pendek di sini pada Sabtu
Mohamad Rizam (kiri) meninjau asrama Maahad Tahfiz Al-Quran (MTQ) Perempuan di Pendek di sini pada Sabtu

"Buat masa ini pengambilan hanya membabitkan 10 pelajar yang lulus temuduga dan mengikut syarat yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Maahad Tahfiz Al-Quran (Perempuan) MAIK di Pendek pada Sabtu.

Menurut beliau, sebelum ini MTQ MAIK dikenali sebagai pusat pengajian yang menyediakan peluang pembelajaran tahfiz al-Quran khusus kepada pelajar lelaki sahaja.

Bagaimanapun tambah beliau, pada tahun 2022 keputusan untuk menawarkan program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat kepada pelajar perempuan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Rizam memberitahu, bangunan tiga tingkat pusat berkenaan diwakafkan oleh beberapa individu bersebelahan Masjid Mukim Kamil Hassan, Pendek.

"Sistem pengajian ditetapkan pihak Darul Quran Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim) dan pada masa sama, pelajar diwajibkan menghafaz 30 juzuk al-Quran," katanya.

Mohamad Rizam menjelaskan, MAIK melalui Unit Pendidikan juga bersetuju memberikan biasiswa penuh kepada pelajar yang berjaya mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.0 dan ke atas.

"MAIK menggalakkan semua pelajar menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama di luar negara selepas tamat diploma," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28