Buang rasa malu bertatih baca al-Quran

Ganjaran pahala menanti buat mereka yang sabar, tekun pelajari kalam ALLAH

JANGAN malu untuk membaca al-Quran walaupun masih lagi merangkak-rangkak ketika mengaji kerana setiap usaha yang dilakukan akan dinilai oleh ALLAH SWT sebagai amal soleh. -Foto: 123rf
JANGAN malu untuk membaca al-Quran walaupun masih lagi merangkak-rangkak ketika mengaji kerana setiap usaha yang dilakukan akan dinilai oleh ALLAH SWT sebagai amal soleh. -Foto: 123rf
A
A
A

SEGELINTIR masyarakat diselubungi rasa malu kerana kurang lancar membaca al-Quran. Dek kerana perasaan rendah diri itu, mereka jarang sekali membuka kalam ALLAH SWT yang mulia itu.

Kepada kelompok itu, segera nyahkan jauh-jauh segala perasaan tersebut. Sebaliknya, teruskan membaca kitab suci berkenaan walaupun merangkak-rangkak ketika mengaji.

Ini kerana terdapat sepotong hadis masyhur yang memerihalkan tentang kebaikan mempelajari bacaan al-Quran walaupun dalam keadaan bertatih daripada terus meninggalkannya begitu sahaja.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama (malaikat) As-Safarah Al-Kiram Al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya, maka untuknya itu dua ganjaran.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Pensyarah Pengajian Islam, Pusat Pengajian Asasi, Management & Science University (MSU), Ustaz Mohd Herzali Muhammad Haled ketika menjelaskan maksud hadis itu berkata, dua ganjaran yang diraih oleh individu merangkak-rangkak membaca al-Quran melibatkan dua imbalan iaitu pertama kerana pembacaannya dan kedua kerana kesukaran ketika membacanya.

USTAZ MOHD HERZALI
USTAZ MOHD HERZALI

“Berbanding dengan orang yang sudah biasa dan mahir membaca al-Quran, pada satu ganjaran itu ALLAH SWT kurniakan sepuluh darjat bagi setiap huruf yang dibaca.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun berganda jumlah (pahalanya) kepada mereka yang kurang lancar, tetapi ia bukanlah bermaksud orang yang pandai baca al-Quran tadi itu tiada kelebihan.

“Sebaliknya, mereka mempunyai peluang lebih besar untuk menggandakan pahala tadi dengan cara mengajar orang lain pula. Ia bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, ‘Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya’, katanya kepada Sinar Islam ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Perbaiki bacaan

Meskipun demikian, Mohd Herzali mengingatkan agar kita terus menguatkan azam untuk memperbaiki bacaan al-Quran masing-masing.

Ini kerana membaca al-Quran secara bertajwid adalah wajib hukumnya, ungkapnya.

SENTIASA berazam untuk memperbaiki diri daripada bertatih membaca al-Quran kepada pembacaan yang lebih baik, lancar dan boleh difahami maksudnya. -Foto: Pexels
SENTIASA berazam untuk memperbaiki diri daripada bertatih membaca al-Quran kepada pembacaan yang lebih baik, lancar dan boleh difahami maksudnya. -Foto: Pexels

“Jangan pula sampai kita letak niat untuk merangkak-rangkak mengaji sampai bila-bila atas alasan hendak dapat dua pahala atau berganda.

“Ingatlah, setiap usaha yang dilakukan akan dinilai oleh ALLAH SWT sebagai satu amal soleh. Justeru, kita mesti ada semangat untuk memperbaiki diri daripada bertatih membaca al-Quran kepada pembacaan yang lebih baik, lancar dan boleh difahami maksudnya,” titipnya.

Mengulas tentang aplikasi al-Quran bagi memudahkan orang ramai memahami kitab suci itu, ahli akademik itu menyifatkan, ia merupakan satu alternatif yang boleh dimanfaatkan, asalkan telah diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Malah, adakalanya perlu kepada aplikasi sedemikian, namun saya secara peribadi melihat, kaedah pembelajaran secara fizikal dengan berguru itu tetap perlu walaupun kita mempunyai aplikasi yang boleh membantu kerana ia hanya bersifat sokongan.

“Ia bukan (datang) dalam keadaan yang utama kalau kita hendak mempelajari al-Quran. Jadi kita mesti kena bertalaqi (belajar) dengan guru yang boleh mengajarkan setiap sebutan huruf, makhraj dan sifatnya dengan betul sehinggalah kepada hukum tajwidnya,” katanya.

PELAJARILAH al-Quran dan sentiasalah membaca kalam ALLAH itu walaupun kita masih merangkak-rangkak untuk membacanya. -Gambar hiasan
PELAJARILAH al-Quran dan sentiasalah membaca kalam ALLAH itu walaupun kita masih merangkak-rangkak untuk membacanya. -Gambar hiasan

Beliau menambah, aplikasi itu bagus diadakan untuk mengisi kelompongan yang boleh dimanfaatkan, termasuklah untuk kegunaan pembelajaran kreatif serta mereka yang menghadapi kekangan mendapatkan guru.