X

Kindly register in order to view this article
!

MOT cadang istilah pelanggaran jalan raya ganti kemalangan

Kamarudin mencuba motosikal ketika melawat pameran motosikal keluaran Kawasaki selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2020 di Tol Sungai Besi hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini bercadang memperkenalkan istilah 'pelanggaran jalan raya' berbanding 'kemalangan' dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan pengguna semasa di jalan raya.

Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya pada akhir tahun lepas bagi memberi pengertian sebenar kesan pelanggaran yang menjadi punca utama kemalangan jalan raya.

“Kemalangan berlaku disebabkan faktor-faktor yang tidak disengajakan seperti keadaan jalan raya rosak, kenderaan gagal berfungsi dengan baik meskipun telah diservis manakala pelanggaran disebabkan ‘kesilapan manusia’ atau kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri yang adakala bersikap mementingkan diri ketika di jalan raya.

“Justeru, penggunaan istilah pelanggaran di jalan raya dilihat mampu mengubah minda orang ramai supaya sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu. Istilah pelanggaran ini diperkenalkan supaya masyarakat lebih memahami bahawa tanggungjawab tertinggi ketika berada di jalan raya adalah penunggang motosikal atau pemandu kenderaan itu sendiri,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2020 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2020 di sini hari ini.

Kamarudin bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tarikh pelaksanaan cadangan penggunaan istilah itu dan sehingga kini, pihak media juga tidak menerima sebarang arahan berkaitan perkara berkenaan.

Tambah Kamarudin, dalam Bahasa Inggeris juga kerap menggunakan istilah kemalangan sebagai ‘crash’ berbanding ‘accident’, justeru beliau menegaskan, cadangan ini juga adalah sebagai peringatan supaya pengguna jalan raya tidak mementingkan diri sendiri bagi mengurangkan risiko kejadian kemalangan.

Dalam pada itu berhubung statistik kemalangan pada 2018, Kamarudin berkata, penunggang motosikal adalah penyumbang bilangan kematian paling tinggi iaitu 4,128 kes kematian diikuti pemandu motokar (1,167) dan pejalan kaki (407).

“Kemalangan yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri iaitu cuai semasa memandu kenderaan yang menyumbang kepada 80 peratus kejadian kemalangan manakala 20 peratus lagi adalah faktor lain seperti keadaan jalan raya dan kenderaan itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Kamarudin berkesempatan meninjau pemeriksaan keselamatan membabitkan 16 bahagian motosikal secara percuma kepada penunggang motosikal supaya lebih peka dan bersedia semasa berada di jalan raya seterusnya membantu mengurangkan risiko kemalangan dalam negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus