[VIDEO] King Cobra 'berdiri' tegak depan mata

A
A
A

PONTIAN - Pengalaman berdepan ular tedung selar atau lebih dikenali sebagai 'King Cobra' pada pertengahan tahun lalu sukar untuk dilupakan Mohd Izzat Izzanuddin Latahang, 29.

Meskipun kali pertama berdepan dengan reptilia tersebut dalam tempoh lima tahun berkhidmat sebagai pegawai bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, insiden itu antara paling meninggalkan kesan buat Mohd Izzat.

Katanya, kejadian itu berlaku sekitar jam 3 petang di belakang rumah seorang penduduk di Benut.

Mohd Izzat (kiri) dan Muhammad Hafizan (kanan) tidak kekok berdepan situasi mencemaskan ketika menangkap ular.
Mohd Izzat (kiri) dan Muhammad Hafizan (kanan) tidak kekok berdepan situasi mencemaskan ketika menangkap ular.

"Selepas menerima panggilan kecemasan, anggota dan jentera dikejarkan ke lokasi.

"Kami diberitahu ular berkenaan berada di bawah longgokan kayu.

"Keadaan agak gelap ketika itu dan terpaksa menggunakan lampu suluh.

"Secara tiba-tiba, ular tedung selar keluar dan berdiri tegak di depan mata saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya cuba tenang dan keadaan ular ketika itu tidak agresif memudahkan ular seberat 20 kilogram itu ditangkap menggunakan penjerut," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Hanya anggota terlatih diberi tanggungjawab untuk menangkap ular.
Hanya anggota terlatih diberi tanggungjawab untuk menangkap ular.

Mohd Izzat yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, kursus asas pengendalian dan menangkap haiwan berbisa yang dihadiri banyak melatih dirinya supaya mahir menangkap ular.

Sementara itu bagi Pegawai Bomba Muhammad Hafizan Mesari, 29 pula berdepan detik mencemaskan ketika menangkap ular sawa seberat 70 kilogram di dalam reban ayam, di Benut pada November tahun lalu.

"Penduduk kampung mendengar bunyi bising dari reban di belakang rumah dan setelah diperiksa, terdapat seekor ular sawa sedang berlingkar di dalamnya.

"Mereka kemudian menghubungi anggota bomba untuk meminta bantuan.

"Anggota bomba yang tiba kemudian memeriksa keadaan di dalam reban untuk mencari ular itu.

"Sewaktu diperiksa, saya terdengar bunyi dengusan dari atas kepala dan dapati ular itu berada di zink reban ayam.

"Ular itu kemudiannya ditangkap menggunakan penjerut," katanya.

Menurutnya, kes tangkapan ular di daerah ini merekodkan sebanyak 150 ekor pada tahun lalu.

Jelasnya, ular akan mencari kawasan lebih sejuk dan lembab seperti di kawasan rumah untuk berlindung apabila cuaca terlampau panas.

"Jika ular masuk dalam rumah, jangan sesekali mengancam kerana ular merupakan haiwan yang bersifat defensif dan hanya akan mematuk sekiranya ada yang mengganggu.

"Paling penting segera menghubungi 999 untuk dapatkan bantuan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28