Imbau sejarah perlombongan bijih timah

Kapal korek TT5 berusia 85 tahun adalah mercu tanda Perak pernah dikenali sebagai pengeluar bijih timah terbesar dunia.
Kapal korek TT5 berusia 85 tahun adalah mercu tanda Perak pernah dikenali sebagai pengeluar bijih timah terbesar dunia.
A
A
A

BATU GAJAH - Menyimpan struktur sejarah kapal korek paling berharga, Tanjung Tualang Tin Dredge No 5 atau dikenali sebagai TT5 merupakan destinasi paling ideal bagi mereka yang ingin merasai pengalaman baru dan mencabar.

Di sebalik keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara, TT5 yang dibuka kepada umum sejak 2017, kini menyajikan pelbagai aktiviti mengujakan untuk diterokai sesuai bagi semua peringkat usia.

Selain dapat mengagumi warisan sejarah dengan meneroka bahagian dalam kapal korek, pengunjung juga berpeluang mencabar minda dan pengetahuan dengan keunikan Maze Park atau Taman Pagar Sesat berbentuk hati yang pertama di dunia.

ESCAPE Ipoh menyediakan lebih 30 permainan yang juga aktiviti membina pasukan terbesar di Asia Tenggara buat masa ini.
ESCAPE Ipoh menyediakan lebih 30 permainan yang juga aktiviti membina pasukan terbesar di Asia Tenggara buat masa ini.

Terkini, pembangunan Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh menyuntik nafas baharu dan segar dalam merancakkan industri pelancongan di kawasan itu.

Perjalanan ke TT5 mengambil masa kira-kira 30 minit dari lebuh raya susur keluar Simpang Pulai dan 40 minit menaiki kereta dari bandar Ipoh. Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) juga tersedia dengan hanya 10 minit perjalanan dari Stesen Batu Gajah.

Kawasan berkeluasan 59 hektar yang merupakan bekas tapak perlombongan bijih timah utama di Perak ini telah melalui proses pembangunan semula yang terancang dan strategik berteraskan taman pengembaraan dan pelancongan pendidikan.

Pemeliharaan dan pemuliharaan yang dijalankan di bawah seliaan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC), memberi makna kepada kawasan itu sehingga mampu menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti santai berbasikal dengan laluan khas sejauh empat kilometer turut disediakan kepada pengunjung di TT5.
Aktiviti santai berbasikal dengan laluan khas sejauh empat kilometer turut disediakan kepada pengunjung di TT5.

Pengunjung sama sekali tidak akan menyesal berkunjung ke TT5 kerana persekitarannya masih dikelilingi kawasan hijau yang mendamaikan menjadikannya sesuai sebagai destinasi pilihan keluarga dan rehat minda.

Melangkah masuk sahaja ke TT5, pengunjung akan terpegun dengan struktur bersejarah sebuah kapal berusia 85 tahun yang masih megah terapung seperti ketika beroperasi dan berada di kawasan terakhir tapak lombongnya.

Kapal korek dengan berat melebihi 4,500 tan dan berketinggian 50 meter ini pernah merekodkan jumlah kehadiran 25,000 pelancong setahun.

Jika sebelum ini, sesi lawatan berpandu disediakan kepada pengunjung, namun bermula Februari lepas, konsep lawatan sendiri mula diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata, pembaharuan itu bagi membolehkan lebih ramai pengunjung berpeluang merasai pengalaman sepanjang berada dalam kapal korek.

Menurutnya, pengunjung akan dibekalkan headphone dan dengan mengimbas kod QR disediakan, mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai aktiviti perlombongan bijih dan sejarah pengoperasian kapal korek yang menerima gelaran 'The Floating Factory'.

"Dengan perubahan ini, orang ramai dapat merasai sendiri pengalaman sepanjang 30 minit berada di kapal tersebut," katanya.

Hanya dengan berjalan kaki, pengunjung kemudiannya boleh meneruskan perjalanan pelancongan dengan Maze Park yang terletak bersebelahan kapal korek.

Anuar berkata, taman berkeluasan 2,972 meter persegi itu memberi pengalaman mencari laluan keluar sejauh 750 meter dengan gabungan lapan elemen utama terdiri daripada batu granit, pokok dan bahan-bahan kitar semula.

Pembukaan Maze Park pada 2021 telah melonjakkan kehadiran pengunjung ke TT5 kepada 80,000 pelancong setahun.
Pembukaan Maze Park pada 2021 telah melonjakkan kehadiran pengunjung ke TT5 kepada 80,000 pelancong setahun.

"Sepanjang laluan keluar, pengunjung turut berpeluang menambah ilmu pengetahuan dan mendapatkan pelbagai informasi mengenai sejarah perlombongan bijih timah.

"Pembukaan Maze Park pada 2021 telah melonjakkan kehadiran pengunjung ke TT5 kepada 80,000 pelancong setahun," katanya.

TT5 menjangkakan peningkatan kepada 200,000 pengunjung dalam tempoh setahun dengan pembukaan sepenuhnya ESCAPE Ipoh kepada orang ramai pada April ini.

Menurut Anuar, ESCAPE Ipoh yang menyediakan lebih 30 permainan merupakan aktiviti membina pasukan terbesar di Asia Tenggara buat masa ini.

"Terdapat empat konsep diperkenalkan iaitu adventure park, water play, obstacles play dan gravity play dengan permainan menguji adrenalin antaranya monkey business, slip n slide, aerobat, jumping jack dan zipline.

"Konsep permainan ini disusun sesuai untuk semua tahap kecergasan pengunjung daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa," katanya.

Sementara itu, Pengurus Amanjaya TT5, Shaharin Zainon berkata, orang ramai juga boleh melakukan aktiviti bersesuaian untuk seisi keluarga antaranya berbasikal dan mengelilingi tasik menggunakan bot terapung.

Katanya, turut disediakan tapak perkhemahan bagi mereka yang ingin merasai pengalaman menginap serta lain-lain kemudahan seperti kafe, taman kanak-kanak, tandas serta lebih 100 lokasi istirahat.

"Kita telah menyediakan 150 basikal, 50 skuter dan 20 basikal elektronik sebagai kemudahan kepada pengunjung di kawasan ini.

"Mereka juga boleh melengkapkan pengalaman pelancongan di TT5 dengan menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang mengagumkan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!