'Belum capai matlamat perkasa bumiputera'

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Nungsari)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Nungsari)
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera mencerminkan pendekatan yang sudah wujud sejak berdekad lalu, namun masih belum mampu mencapai matlamat sebenar dalam memperkasakan ekonomi bumiputera.

Ahli ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, tumpuan seharusnya diberikan bagi mengembangkan portfolio Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan meluaskan penyertaan di bawah Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) bukannya membentuk satu institusi baharu.

Justeru menurutnya, kerajaan perlu menjadikan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera sebagai agenda pembangunan negara yang berorientasikan daya saing global, bukan sekadar mewujudkan ekonomi bumiputera yang seakan terasing daripada ekonomi negara.

"Perlukan pendekatan yang langsung berbeza.

"Tak boleh buat benda lebih kurang sama dan mengharapkan perbezaan.

"Ini adalah agenda pembangunan negara.

"Pembangunan yang bergantung kepada daya saing dan kelangsungan ekonomi negara.

"Perspektif melihat ekonomi bumiputera seolah-olah ia berasingan daripada ekonomi negara adalah perspektif yang sedia ada sudah berdekad.

Artikel Berkaitan:

"Adakah ia berjaya? Untuk bumiputera secara umum khususnya B50 bumiputera?

"Adakah ia telah merancakkan pembangunan dan daya saing negara?" katanya kepada Sinar Harian.

Pada Khamis, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

Menerusi TEB, beliau turut mencadangkan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera bagi mengekalkan pemilikan tanah golongan itu yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

Perbadanan itu bertanggungjawab merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Nungsari berkata, kerajaan perlu memperbaiki dan menumpukan terhadap penyelesaian masalah berkaitan cabaran taburan manfaat yang sepatutnya dinikmati golongan bumiputera di negara ini.

Katanya, ia mengambil kira majoriti golongan itu memiliki simpanan yang kecil bagi pelaburan Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

"Kalau tengok taburan simpanan dalam TH atau ASB, jelas ia dikuasai oleh segelintir sahaja.

"Platform ada, penyertaan pun ada tetapi taburan penyertaan sangat tak seimbang.

"Tak perlu buat platform tambahan, tumpu kepada usaha tingkatkan pendapatan.

"Puratanya 60 peratus pendapatan isi rumah adalah gaji/upah.

"Bagaimana untuk tingkatkan upah?

"Tingkatkan daya saing sumber manusia.

"Tingkatkan institusi pembangunan sumber manusia dari sekolah ke TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional Negara) ke IPT (intitusi pengajian tinggi)," ujarnya.

Beliau berkata, bumiputera perlu menjadi agen mengembangkan ekonomi negara, kerana itu kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap peningkatan daya saing.

"Upah yang tinggi datang daripada syarikat yang berdaya saing...yang mampu eksport.

"Dasar mestilah mengenai pembentukan syarikat sedemikian.

"Bukan syarikat bumiputera tetapi syarikat nasional yang berdaya saing di mana terdapat penyertaan dan peranan bumiputera yang ketara...daripada kecil sehingga yang besar," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!