Saran kerajaan kemuka kertas hijau Akta Parlimen Berpenggal Tetap

Chin Huat
Chin Huat
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengemukakan kertas hijau bagi cadangan penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap (APBT) untuk memetakan isu-isu asas dan maklumat yang tepat mengenainya.

Penganalisis Politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, kertas hijau itu juga perlu menyenaraikan tentang aspek-aspek perlu dilakukan perbincangan dan pertimbangan orang awam, pemegang taruh dan semua pihak dalam penggubalan akta baharu berkenaan.

Chin Huat (kiri) mengendalikan kursus pintas APBT kepada pengamal media di ibu negara pada Jumaat.
Chin Huat (kiri) mengendalikan kursus pintas APBT kepada pengamal media di ibu negara pada Jumaat.

“Kertas hijau ini adalah satu dokumen kerajaan yang menggariskan isu yang perlu dibincang dan apa opsyen-opsyen yang terkandung supaya orang ramai boleh mengambil bahagian.

“Sebab kita lihat dalam isu cadangan penggubalan APBT ini, ada segelintir yang membuat andaian bahawa ia akan menggugat kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Sinar Harian selepas berakhir kursus pintas APBT kepada pengamal media anjuran Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) di sini pada Jumaat.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Projek SAMA mencadangkan agar APBT diwujudkan bagi menghalang Parlimen daripada dibubarkan lebih awal sewenang-wenangnya.

Angkatan Wanita Parti Amanah Negara Nasional (AWAN) pula dilaporkan berkata, akta itu akan menjamin kestabilan politik negara dan menepis sebarang cubaan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan setiap kali ia dibentuk.

Ketuanya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia dilihat dapat menjamin kerajaan yang terbentuk setiap kali selepas Pilihan Raya Umum dapat bekerja dengan efektif sehingga habis penggal.

Artikel Berkaitan:

Chin Huat yang juga Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB (SDSN), Universiti Sunway menegaskan, sekiranya andaian-andaian tidak betul dibuat tentang apa-apa sahaja perkara ia akan menyulitkan mana-mana pihak untuk menyuarakan apa-apa sahaja cadangan untuk tujuan reformasi institusi.

Chin Huat
Chin Huat

“Jadi kuncinya adalah perbincangan atau wacana awam mendalam yang tepat supaya kita tahu apa yang diperlukan apatah lagi ketika ini banyak isu yang timbul disebabkan tidak ada perbincangan mendalam.

“Contohnya dalam soal mahu hapuskan pencen penjawat awam bertatus tetap baharu dan isu beras Madani. Rakyat tidak tahu apa-apa tetapi tiba-tiba ia disebut dan diumumkan tanpa ada perincian,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Chin Huat menjelaskan, APBT itu dicadangkan memandangkan sistem yang ada sekarang sebenarnya tidak menyuburkan demokrasi dan kestabilan negara.

Katanya, ia sekali gus untuk memastikan politik Malaysia boleh maju ke depan iaitu semua parti bersaing secara profesional dalam memenangi hati rakyat dan bukan dengan memusuhi sesama sendiri.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28