Tak sempat raih untung jual ketum, lelaki tidur di lokap

Daun ketum yang baru saja dipetik disimpan dalam guni sebelum dijual untuk pasaran tempatan.
Daun ketum yang baru saja dipetik disimpan dalam guni sebelum dijual untuk pasaran tempatan.
A
A
A

TENOM - Seorang lelaki bukan saja tidak sempat meraih keuntungan hasil jualan daun ketum malah terpaksa bermalam di lokap selepas dicekup polis dalam satu sekatan jalan di Jalan Tenom-Keningau di sini pada Jumaat.

Dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan kira-kira jam 11 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 41 tahun ditahan bersama lebih 100 kilogram daun ketum yang baru saja dipetik di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintenden Hasan Majid berkata, pihaknya menahan sebuah kenderaan yang dipandu suspek dan hasil pemeriksaan lanjut menemui lapan guni berisi daun yang disyaki ketum.

"Daun tersebut dipercayai untuk dijual dengan nilai pasaran dianggarkan RM2,000.

"Turut ditemui bersama individu tersebut ialah sejumlah dadah jenis syabu dan alat disyaki digunakan untuk menghisap dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, suspek disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat setempat dapat menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah daerah ini di talian 087-736211.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: