18 premis makanan diarah tutup

JKNK mengeluarkan notis penutupan sebuah premis makan berikutan tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan dalam Operasi Bersepadu Siri1/2024 di daerah Kota Setar, Sik dan Baling pada Rabu. Foto Ihsan JKNK
JKNK mengeluarkan notis penutupan sebuah premis makan berikutan tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan dalam Operasi Bersepadu Siri1/2024 di daerah Kota Setar, Sik dan Baling pada Rabu. Foto Ihsan JKNK
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengarahkan 18 premis makanan ditutup berikutan tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan dalam Operasi Bersepadu Siri1/2024 di daerah Kota Setar, Sik dan Baling pada Rabu.

Operasi itu melibatkan 202 anggota terdiri dari Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, anggota sokongan dari JKNK, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Norizan Ahmad berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan kebersihan dan kesalahan merokok termasuk rokok elektrik dan vape di premis ataupun tempat makan serta penguatkuasaan pembiakan nyamuk aedes di kawasan tumpuan ramai.

"Sepanjang tempoh penguatkuasaan, sebanyak 174 premis makanan telah diperiksa dan 164 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan dikeluarkan dengan nilai kompaun RM66,150.

"Sebanyak 18 premis telah dikenakan tindakan penutupan kerana gagal mencapai penilaian premis>75 peratus dan satu premis terdapat infestasi LILATI," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, pihaknya turut mengeluarkan notis bernilai RM7,800 bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Daripada jumlah itu, 21 notis dikeluarkan atas kesalahan merokok di kedai makan, diikuti lapan notis lagi disebabkan kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok dan satu notis dikeluarkan masing-masing atas kesalahan orang belum dewasa yang merokok serta gagal pamer tanda larangan penjualan kepada orang belum dewasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Norizan memaklumkan, pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas 183 premis tumpuan awam meliputi komersial dan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak tiga premis dikesan ada pembiakan dan dikeluarkan kompaun dengan nilai RM1,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Jelas beliau, tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya Orang Yang Dikenakan Notis tidak menjelaskan kompaun yang ditawarkan dalam tempoh masa ditetapkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28