LHDN digesa lebih cekap, tegas kutip hasil

Anwar berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di Menara Hasil Cyberjaya, hari ini. - Bernama
Anwar berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di Menara Hasil Cyberjaya, hari ini. - Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digesa lebih cekap dan tegas dalam mengutip hasil negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, LHDN menjadi salah satu agensi diharapkan untuk menyelamatkan bangsa dan negara selain daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Jumlah (cukai) yang dibayar itu kecil tetapi hasilnya sangat diperlukan bukan sahaja untuk pertumbuhan negara tetapi juga keselesaan rakyat," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Hasil 2024, pada Jumaat.

Jelas beliau, secara umumnya pungutan cukai negara masih rendah di rantau Asia Pasifik.

"Malaysia hakikatnya masih mempunyai asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding dengan negara jiran lain seperti Singapura (12.6 peratus) dan Thailand 16.4 peratus)," ujar beliau.

Menurutnya, bilangan syarikat gergasi yang membayar cukai juga masih rendah iaitu sekitar 435,000 berbanding 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia.

"Ini bermakna kurang daripada 29 peratus atau kurang dari setengah juta syarikat yang membayar cukai," katanya.

Anwar berkata, jumlah pembayar cukai pada ketika ini iaitu 5.7 juta orang dengan hasil kutipan RM40.96 bilion belum mencapai tahap negara berkembang.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak boleh nafikan langkah dan inisiatif yang diambil LHDN telah meningkat hasil kepada negara.

"Itu pengiktirafan dan penghargaan kepada LHDN dengan harapan terus meningkat lebih baik dari unjuran tahun 2024," katanya.

LHDN menyasarkan RM197 bilion kutipan cukai pada tahun ini mewakili pertumbuhan 7.47 peratus daripada jumlah yang dicapai tahun lalu.

Pada tahun 2023, LHDN merekodkan kutipan hasil RM183 bilion melepasi RM176 bilion yang disasarkan.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan Kerajaan Madani mewarisi hutang yang tinggi daripada pentadbiran terdahulu telah berjaya mengurangkan defisit sebanyak lima peratus.

"Alhamdulillah dengan usaha rakan-rakan di Perbendaharaan, defesit akan terus dikurangkan," katanya.

Tegas beliau, sekiranya defisit terus meningkat, generasi akan datang terpaksa menanggung bebanan.

Mengambil contoh ibu bapa yang sanggup berhutang demi keselesaan keluarga, akhirnya hutang berkenaan terpaksa ditanggung oleh anak apabila mereka meninggal dunia kelak.

"Itu bukan pengurusan hutang yang baik.

"Kutiplah hasil sebanyak mana pun, tetapi amalan boros dan tiris akan memberi beban kepada negara," katanya.

Meskipun dicabar dengan kedudukan ringgit, ujar Anwar, kedatangan pelabur merekodkan kemasukan tertinggi di dalam sejarah negara.

"Ini kerana keyakinan para pelabur (kepada negara)," katanya.

Tegas Anwar, adalah tidak wajar dikaitkan dengan ringgit sedangkan kadar inflasi negara berada pada kedudukan yang rendah.

"Pada tahun 1998, ringgit jatuh, inflasi naik, pengangguran tinggi dan pelabur tidak datang.

"Jadi kita perlu melihat dalam konteks keseluruhan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Hanya 435,000 berbanding 1.5 juta syarikat berdaftar bayar cukai - PM #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #LHDN #AnwarIbrahim #PM #Cukai #Ekonomi

original sound - Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!