DBKL lanjut tempoh kemuka pandangan Draf PTKL 2040

DBKL melanjutkan tempoh mengemukakan pandangan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 sehingga 1 April depan. Gambar kecil: Kamarulzaman
DBKL melanjutkan tempoh mengemukakan pandangan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 sehingga 1 April depan. Gambar kecil: Kamarulzaman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh mengemukakan pandangan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 sehingga 1 April depan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, tempoh akhir penglibatan awam dijadualkan tamat pada 1 Mac ini, namun dilanjutkan sebulan lagi.

Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan orang awam terus menghadiri sesi pameran Draf PTKL 2040 di Menara DBKL1.

"Orang awam juga boleh mengemukakan permohonan sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan sesi taklimat atau penjelasan di sesuatu lokasi tertentu.

"Warga kota dialu-alukan mengemukakan pandangan, cadangan dan idea agar visi pelan pembangunan Kuala Lumpur iaitu 'Bandar untuk Semua' dapat direalisasikan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Draf PTKL 2040 telah diluncurkan di Institut Latihan DBKL pada 30 Januari lalu dengan pelbagai usaha dilaksanakan ke arah memastikan penglibatan semua pihak dalam memahami kandungan Draf PTKL 2040 yang akan mencorak pembangunan Kuala Lumpur sehingga 2040.

Ujarnya, sebahagian usaha yang dilaksanakan seperti sesi pameran berkaitan PTKL 2040 di Menara DBKL 1 dan Menara DBKL 3.

Selain itu katanya, DBKL turut mengadakan pameran bergerak mengikut kawasan Parlimen Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi-lokasi terlibat bagi sesi pameran bergerak antaranya Aeon (Metro Prima Kepong, Taman Maluri, Wangsa Maju, AU2 ), Perpustakaan TTDI, Perpustakaan Lembah Pantai, Lotus (Selayang, Kepong), UTC Keramat, Cheras Sentral, Berjaya Times Square dan Pavilion Bukit Jalil telah dihadiri oleh 500 orang.

"DBKL juga turut mengadakan 13 Sesi Taklimat Pemahaman di Tingkat 30 Menara DBKL 1 bermula 6 Februari sehingga 1 Mac 2024 yang telah dihadiri hampir 250 orang terdiri wakil persatuan penduduk, ahli akademik, agensi kerajaan persekutuan, badan-badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur, " katanya.

Tambahnya, DBKL juga giat melakukan hebahan di pelbagai platform media sosial dan papan iklan digital di TV dan radio serta edaran risalah.

"Turut dilakukan ialah sesi temu bual di radio dan TV bagi memberi penerangan Draf PTKL 2040 dan peranan semua pihak.

"Semua ini dilakukan bagi memastikan semua pihak sedar akan keperluan memberikan input terhadap Draf PTKL2040," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28