MBK laksana bayaran parkir digital 1 April depan

Bayaran parkir secara digital menerusi aplikasi Pahang Go dan pembayaran terminal dilaksanakan sepenuhnya 1 April depan.
Bayaran parkir secara digital menerusi aplikasi Pahang Go dan pembayaran terminal dilaksanakan sepenuhnya 1 April depan.
A
A
A

KUANTAN - Sistem pembayaran parkir digital akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 April depan, sekali gus menamatkan penggunaan kupon bagi meletakkan kenderaan di daerah ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, pemilik kenderaan boleh memuat turun aplikasi mudah alih Pahang Go dan membuat pembayaran secara dalam talian.

Menurutnya, bagaimanapun, penggunaan kupon parkir secara gores tamat sepenuhnya pada 31 Mac ini.

"Bila guna secara digital (melalui aplikasi Pahang Go) pengguna akan dimaklumkan sejurus sebelum tamat masa parkir.

"Jadi, boleh terus menambah masa dengan membuat bayaran yang diperlukan," katanya pada Khamis.

Difahamkan, sistem pembayaran parkir digital itu sepatutnya diperkenalkan mulai awal Januari lalu, namun ditangguhkan.

Penangguhan itu dibuat bagi membolehkan mereka yang telah membeli kupon dapat menggunakannya sehingga 31 Mac ini.

Beliau berkata, sekiranya mereka yang tidak mempunyai telefon pintar atau aplikasi parkir, boleh membuat pembayaran di terminal yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pengguna hanya perlu memasukkan nombor pendaftaran kenderaan mereka dan membuat pembayaran.

"Setakat ini, terminal parkir disediakan di kawasan parkir di daerah ini bagi memberikan kemudahan kepada pemilik kenderaan," katanya.

Sehubungan itu, Norkamawati menasihatkan mereka yang mempunyai kompaun parkir supaya merebut diskaun bayaran yang ditawarkan sehingga 31 Mac depan.

Katanya, tawaran terbabit dibuat bersempena ulang tahun ketiga status bandar raya Kuantan.

"Semua kompaun trafik yang dikeluarkan sebelum 1 Ogos tahun lalu layak mendapat diskaun istimewa kecuali bagi mereka yang mempunyai notis mahkamah.

"Kadar diskaun istimewa ditawarkan serendah RM5 dan pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan kompaun boleh berbuat demikian," jelasnya.