Semua dipelawa terlibat sesi pendengaran awam PTKL 2040

Dr Zaliha menjawab pertanyaan media selepas menyempurnakan majlis Peluncuran Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 di Dewan Perdana Mestika, Cheras pada Selasa. Foto Bernama
Dr Zaliha menjawab pertanyaan media selepas menyempurnakan majlis Peluncuran Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 di Dewan Perdana Mestika, Cheras pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak termasuk wakil agensi kerajaan, swasta, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun warga kota dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam terhadap kandungan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, mereka dipelawa memberi sebanyak mungkin pandangan, cadangan serta idea terhadap kandungan draf PTKL 2040 untuk diteliti oleh jawatankuasa terlibat sebelum diwartakan pada suku pertama 2025.

"Sesi pendengaran awam ini bermula esok dan berakhir dalam tempoh sebulan, namun masa akan ditambah sehingga tiga bulan jika terdapat keperluan.

"Selain secara fizikal, orang ramai juga boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi laman sesawang https://ppkl.dbkl.gov.my/e-pandangan," katanya selepas melancarkan PTKL 2024, di sini pada Selasa.

Dr Zaliha (tengah) menyempurnakan majlis Peluncuran Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 di Dewan Perdana Mestika, Cheras pada Selasa. Foto Bernama
Dr Zaliha (tengah) menyempurnakan majlis Peluncuran Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 di Dewan Perdana Mestika, Cheras pada Selasa. Foto Bernama

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Zaliha berkata, PTKL 2040 merupakan satu pelan terperinci menterjemahkan polisi dan cadangan terkandung dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.

"PTKL 2040 merupakan satu dokumen penting dalam menentukan hala tuju serta kemampuan pelaksanaan pembangunan di Kuala Lumpur menjelang 2040.

"Ia dirangka dengan menitikberatkan kepentingan untuk menjadikan ibu kota sebagai sebuah bandar raya yang mesra didiami segenap lapisan masyarakat dan menjadi tumpuan kepada pelancongan serta pelaburan untuk dekad mendatang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, draf PTKL 2040 menterjemah visi Bandar Untuk Semua, selain memberi tumpuan merangka perancangan guna tanah dan intensiti pembangunan dengan berpandukan kepada matlamat pembangunan seperti digariskan dalam PSKL 2040.

"Kerangka dasar membangunkan masyarakat Madani yang progresif juga telah menjadi asas utama kepada pembentukan draf PTKL 2040 selain aspirasi perancangan peringkat global serta strategi pembangunan di peringkat nasional.

"Ia amat penting bagi mengelakkan sebarang konflik perancangan selain sejajar dengan hala tuju di peringkat antarabangsa," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Orang ramai boleh menyemak draf PTKL 2040 bermula esok hingga 1 Mac depan, di Menara DBKL 1 dan Menara DBKL 3 serta melalui pameran bergerak yang akan diadakan di 11 kawasan Parlimen di ibu kota. - Bernama