Pengusaha pusat cuci kereta bebas tuduhan edar, miliki lebih 2.78kg dadah

Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang pengusaha pusat cuci kereta daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki lebih 2.78 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah empat tahun lepas pada Khamis. Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang pengusaha pusat cuci kereta daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki lebih 2.78 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah empat tahun lepas pada Khamis. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan seorang pengusaha pusat cuci kereta daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki lebih 2.78 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Mohamad Faez Moktar, 33, pada akhir pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata, setelah membuat penilaian maksimum, elemen milikan dengan pengetahuan terhadap dadah gagal dibuktikan oleh pendakwaan.

"Dalam penilaian saya, rumah di Horizon Hill jika pun tinggal di sana, ianya tidak didiami oleh Orang Kena Tuduh (OKT) seorang diri. Tiada pemerhatian atau pemantauan pernah dibuat untuk membuktikan OKT ada pergi atau keluar dari rumah Horizon Hill pada hari serbuan dadah.

"Oleh kerana dadah dijumpai di rumah di Horizon Hills dan kunci dikatakan dirampas dari OKT semasa di Ramada Hotel, maka keterangan bukti mengenai kunci ini akan membentuk naratif kes pendakwaan yang penting untuk mengaitkan OKT dengan rumah Horizon. Kekurangan dalam cara ia dikemukakan telah menjejaskan kes pendakwaan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” kata Noor Hayati.

Mohamad Faez didakwa telah mengedar dadah jenis kanabis seberat 2.45002 kilogram (kg) dan methamphetamine seberat 0.33859 kg di Horizon Hills, Iskandar Puteri pada 30 Disember 2020 kira-kira jam 4.30 petang.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 38B (2) akta sama yang boleh dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa memiliki racun jenis Etizolam seberat 1.97 gram di lokasi dan waktu sama dan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Norliza Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mahkamah Tinggi di sini hari memerintahkan seorang lelaki dan seorang wanita membela diri atas tiga pertuduhan mengedar hampir 0.24868 kg dadah pada 2020.

Noor Hayati membuat keputusan itu terhadap Teng Wei Xiong, 25, dan Chai Ying, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Bagi pertuduhan pertama Teng dan Chai didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 112 gram manakala pertuduhan kedua dan ketiga mereka dituduh memiliki dadah jenis kanabis seberat 121.23 gram serta dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 15.45 gram di sebuah bilik di Jalan Rusa 3, Johor Bahru pukul 9 malam, 5 Mei 2020.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca sekali di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama dan dibaca sekali di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara lima tahun hingga seumur hidup dan disebat maksimum 10 kali, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan ketiga, mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A(1) akta sama dan dibaca sekali di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun dan disebat maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 dan 21 Mei ini untuk kedua-dua tertuduh membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Norliza Abdullah, manakala Teng dan Chai masing-masing diwakili Peguam Muhammad Abd Kadir dan Peguam Mohd. Daud Ismail.