[VIDEO] Inspektor polis lepas, bebas tuduhan ambil dadah

A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Majistret di sini pada Isnin melepaskan dan membebaskan seorang inspektor polis atas pertuduhan mengambil dadah tiga tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Roslan Sam, 43.

"Setelah mahkamah teliti fakta kes, ekshibit keterangan tertuduh dan saksi pihak pembelaan serta hujahan-hujahan yang difailkan serta menilai semula keterangan saksi di peringkat pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini," katanya.

Roslan (dua dari kanan) bersalam dengan Haresh sambil diperhatikan Ramzani selepas mahkamah membebaskan dan melepaskannya atas pertuduhan mengambil dadah tiga tahun lalu.
Roslan (dua dari kanan) bersalam dengan Haresh sambil diperhatikan Ramzani selepas mahkamah membebaskan dan melepaskannya atas pertuduhan mengambil dadah tiga tahun lalu.

Pada prosiding 17 Mac lalu, Roslan diperintah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan ke atasnya.

Dalam perbicaraan kes tersebut, seramai tujuh saksi dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Artikel Berkaitan:

Roslan (tengah) bersama Haresh (kiri) dan Ramzani (empat dari kanan) selepas mahkamah membebaskan dan melepaskannya atas pertuduhan mengambil dadah tiga tahun lalu.
Roslan (tengah) bersama Haresh (kiri) dan Ramzani (empat dari kanan) selepas mahkamah membebaskan dan melepaskannya atas pertuduhan mengambil dadah tiga tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengguna dan memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu sejenis Ketamin, Emphatamin, Methamphetamin, Methylenedioxy - Emphatamin dan Methylenedioxy Methamphetamin.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 3 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 27 September 2020.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun.