Edar dadah: Penganggur dihukum penjara 60 tahun, 24 sebatan

Seorang penganggur dihukum penjara 60 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis Metamfetamina dua tahun lepas.
Seorang penganggur dihukum penjara 60 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis Metamfetamina dua tahun lepas.
A
A
A

TAWAU - Seorang penganggur dihukum penjara 60 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis Metamfetamina, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas Roderick Raymond Wan, 22, mengaku bersalah.

Duncan menjatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak dari tarikh dia ditangkap pada 25 Mei 2022.

Roderick didakwa mengedar 1,330.9 gram metamfetamina di depan sebuah kedai di Jalan Stephen Tan di sini pada jam 2.10 petang 25 Mei 2022.

Dia juga didakwa mengedar metamfetamina seberat 3,337.2 gram di sebuah bilik di Jalan Sedco Light Industrial, Batu 3 Jalan Apas di sini pada 3.40 petang hari sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Roderick didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati dia hendaklah disebat tidak kurang 15 kali.

Dalam penghakimannya, Duncan berkata, terdapat peningkatan aktiviti pengedaran dadah di Tawau susulan kekerapan pendaftaran kes itu di Mahkamah Tinggi Tawau.

"Bagaimanapun, selepas mengambil kira pengakuan salah, penyesalan yang ditunjukkan oleh tertuduh dan lebih-lebih lagi ini adalah kesalahan pertamanya, usia tertuduh dan fakta meskipun terdapat dua pertuduhan, ia berpunca daripada satu urus niaga yang berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan kedua-dua pertuduhan adalah sebahagian daripada urus niaga yang sama selain faktor kepentingan awam dan berat dadah, hukuman penjara hendaklah berjalan serentak manakala sebatan dikenakan secara berturut-turut," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Suriana dan Hurman Hussain manakala Roderick diwakili peguam Jhassary P Kang dan Jhesseny P Kang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!