Syed Saddiq mohon penjara atau denda sahaja, tanpa sebatan

Syed Saddiq (depan) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Syed Saddiq (depan) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pasukan pembelaan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis supaya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikenakan hukuman ringan dalam bentuk penjara atau denda sahaja.

Peguam, Haijan Omar mewakili Syed Saddiq memohon perkara itu, tanpa menyebut mengenai peruntukan hukuman sebatan.

Haijan berkata, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu menyesal, akur dan muhasabah diri di atas keputusan berkenaan.

“Syed Saddiq tidak memperoleh keuntungan daripada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya,” katanya ketika sesi mitigasi di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Sementara itu, seorang lagi peguamnya, Gobind Singh Deo dalam hujahannya, memohon mahkamah menimbangkan faktor mitigasi di mana semua pihak menerima bahawa Syed Saddiq tidak menggunakan duit untuk tujuan peribadi.

Gobind berkata, bukti menunjukkan wang itu digunakan untuk membantu orang ramai ketika pandemik Covid-19 dan tujuan kebajikan lain.

“Kami juga memohon mahkamah menimbangkan pembelaan tertuduh sebelum menjatuhi hukuman,” katanya.

Peguam-peguam itu berkata demikian selepas mahkamah mendapati bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq didakwa atas satu pertuduhan menyalah gunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.