Bunuh teman wanita: Bekas guru agama terlepas hukuman gantung

Seorang bekas guru agama di sebuah sekolah di Selangor terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan pada Khamis menggantikan hukuman itu dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan kerana didakwa membunuh teman wanitanya, sembilan tahun lepas.Gambar hiasan
Seorang bekas guru agama di sebuah sekolah di Selangor terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan pada Khamis menggantikan hukuman itu dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan kerana didakwa membunuh teman wanitanya, sembilan tahun lepas.Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bekas guru agama di sebuah sekolah di Selangor terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan pada Khamis menggantikan hukuman itu dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan kerana didakwa membunuh teman wanitanya, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Abdul Ra'of Mohd Dimyati, 35, selepas membenarkan rayuan akhirnya terhadap hukuman.

"Hukuman mati diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 33 tahun dari tarikh tangkap (6 Mei 2015) dengan 12 sebatan,” kata Hakim Zabariah yang bersidang bersama-sama Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap Abdul Ra'of selepas didapati bersalah membunuh Nor Salina Nazir, 34, seorang peniaga dalam talian di kawasan lapang di tepi Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baharu pada 8.30 malam, 5 Mei 2015, mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Abdul Ra'of kemudian merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan pada 10 Ogos 2020 mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap perayu.

Terdahulu, peguam Muhammad Izzat Irfan yang mewakili Abdul Ra’of memberitahu mahkamah pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi pengecualian hukuman mati sejajar dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) selain memaklumkan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

"Pindaan itu memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan 12 sebatan. Oleh itu, saya mohon hukuman penjara tidak melebihi 35 tahun dikenakan terhadap perayu,” katanya.

Menurut peguam itu, anak guamnya juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain insaf dan menyesal atas perbuatan yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya tidak mempunyai motif membunuh serta tiada perancangan awal untuk melakukannya. Dia menyesal atas kekhilafan dilakukan selain memohon maaf kepada keluarga si mati (mangsa).

"Perayu telah berada dalam penjara hampir sembilan tahun sejak tarikh tangkapan pada 6 Mei 2015. Mohon hukuman sewajarnya agar anak guam dapat pulang ke pangkuan keluarga," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Aziz, yang mengesahkan pihaknya tidak membantah representasi itu memohon agar perayu dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 35 tahun dan sebatan minimum 12 kali. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28