Ringgit dijangka terus mengukuh, didagang pada RM4.50

Amir Hamzah ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis.Foto Bernama
Amir Hamzah ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis.Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka terus mengukuh pada tahun ini, diniagakan pada RM4.50 berbanding dolar AS pada akhir 2024, didorong oleh kedudukan ekonomi negara yang positif, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia untuk meningkatkan aliran masuk wang ke dalam pasaran pertukaran asing bagi mengukuhkan nilai ringgit.

Katanya, BNM juga sentiasa bersedia untuk mengambil langkah campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

"Sebagai contoh, BNM akan menjual mata wang dolar AS daripada rizabnya untuk menyekat kelemahan ringgit yang berlebihan.

"Usaha yang dilakukan kerajaan menunjukkan keberkesanan dan tiada keperluan untuk menggunakan instrumen seperti tambat ringgit atau menutup pertukaran ringgit seperti yang dilakukan semasa Krisis Kewangan Asia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu mengenai jangkaan kerajaan untuk melihat mata wang negara pulih kepada tahap berpatutan dan langkah-langkah yang diambil oleh BNM untuk mengukuhkan nilai ringgit.

Amir Hamzah berkata, pergerakan ringgit dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan kejatuhan yang dialami dalam tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dolar AS dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China.

Beliau berkata, faktor ini turut memberi kesan kepada mata wang serantau lain.

Artikel Berkaitan:

Setakat 28 Februari lepas, katanya, nilai ringgit telah menyusut -3.5 peratus berbanding dolar AS, sejajar dengan mata wang serantau seperti yen Jepun (-6.3 peratus), baht Thailand (-4.7 peratus) dan won Korea (-3.3 peratus).

Katanya, BNM akan terus memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah-langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.

Amir Hamzah berkata, BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar AS.

"Kerajaan juga mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta untuk mengurangkan tekanan kepada ringgit. Ini termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik serta menangguhkan pelaburan luar negara baharu.

"Pelaburan luar negara yang dilaksanakan juga perlu diurus secara berhemat seperti melindungi nilai pendedahan mata wang asing dan membawa balik hasil pelaburan luar negara bagi mengurangkan tekanan tinggi kepada ringgit,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28