PERKESO kompaun majikan tidak mencarum

Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, Mohammad Faisal Ismail (kanan) dan Ismail (empat dari kiri) serta kakitangan menyerahkan faedah PERKESO kepada waris penerima di Kampung Bukit Badong di sini pada Khamis.
Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, Mohammad Faisal Ismail (kanan) dan Ismail (empat dari kiri) serta kakitangan menyerahkan faedah PERKESO kepada waris penerima di Kampung Bukit Badong di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor mengeluarkan 31 kompaun terhadap majikan dengan nilai keseluruhan RM18,500 dalam 'Ops Kesan' di Sungai Buloh dan Bestari Jaya pada Rabu.

Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, operasi jam 10 pagi di sekitar Sungai Buloh itu dijalankan 27 pegawai penguat kuasa PERKESO di negeri ini.

"Kita membuat pemeriksaan terhadap 165 majikan sekitar Sungai Buloh dan daripada jumlah itu kita mengeluarkan sebanyak 29 notis kompaun," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Skuad Prihatin PERKESO kepada salah satu waris penerima di Kampung Bukit Badong di sini pada Khamis.

Ismail memberitahu, nilai kompaun Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bernilai RM9,000 dan bagi Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) melibatkan nilai kompaun sebanyak RM5,500 dengan nilai keseluruhan RM14,500," kata beliau.

Katanya, dalam operasi sama di Taman Suria dan Jalan Suria Bestari Jaya di sini, sebanyak dua kompaun dikeluarkan terhadap majikan.

"Sebanyak dua kompaun dikenakan dengan nilai RM2,000 masing-masing mengikut Akta 4 dan Akta 800," jelas beliau.

Menurut Ismail, rata-rata majikan yang dikompaun memberi alasan tidak tahu mencarum dan baharu memulakan perniagaan dan mengambil pekerja.

"Semua majikan yang mengambil pekerja termasuk warga asing wajib mendaftar dengan PERKESO dalam masa 30 hari daripada tarikh pekerja tersebut diambil bekerja," tambah beliau.

Artikel Berkaitan: