Ketua jurulatih Speedy Tigers diketahui Ahad ini

Majid. Foto Agensi (Laporan Sinar Harian)
Majid. Foto Agensi (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

TEKA-TEKI ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki negara bakal diketahui Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat oleh presiden, Datuk Seri Subahan Kamal.

Beliau berkata, kesemua empat calon yang disenarai pendek sudah melalui proses temu duga pada petang Selasa.

Mereka adalah bekas pengendali skuad hoki negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, Sarjit Singh dan dua calon jurulatih luar negara terdiri daripada Brendan Caralon dari Afrika Selatan dan Glenn Turner dari Australia.

“Hasil daripada temu duga dibawa ke mesyuarat exco untuk mendapatkan pandangan sebelum ketua jurulatih itu dipilih.

“Apapun terserah kepada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh presiden untuk memilih calon yang layak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebagai rekod Subahan memaklumkan pembubaran skuad remaja dan senior lelaki kebangsaan susulan kegagalan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, Majid menjelaskan semasa temu duga, kesemua empat calon jurulatih tersebut mengemukakan perancangan dan hala tuju pasukan bagi menunjukkan tanda kesungguhan mereka untuk melatih Speedy Tigers.

Artikel Berkaitan:

“Sarjit hadir temu duga secara bersemuka, manakala tiga lagi calon termasuk Dharma Raj dibuat secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom,” katanya.

Cabaran pertama jurulatih baharu itu ialah menyediakan skuad bagi mengharungi Piala Sultan Azlan Shah 2024 pada Mei depan.