Ringgit, mata wang serantau lebih rendah menjelang pengumuman data inflasi AS

Ringgit dijangka mengakhiri suku pertama 2024 pada paras 4.70.- Gambar hiasan
Ringgit dijangka mengakhiri suku pertama 2024 pada paras 4.70.- Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dan kebanyakan mata wang serantaunya diniagakan lebih rendah pada Rabu ketika dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat secara menyeluruh menjelang pengumuman data inflasi AS minggu ini.

Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.7690/7730 berbanding dolar AS daripada 4.7585/7635 semasa ditutup pada Selasa.

Dolar Singapura, baht Thailand dan rupiah Indonesia masing-masing merosot 0.20 peratus, 0.48 peratus dan 0.60 peratus.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit yang mengukuh semula susulan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa unit tempatan itu terkurang nilai telah diatasi oleh kenaikan dolar AS.

"Trend ini telah berterusan walaupun data barangan tahan lama AS adalah lebih lemah berbanding jangkaan dan keyakinan pengguna AS yang merosot dalam tempoh semalaman," katanya.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, Pengurus Portfolio UOB Kay Hian, Mohd Sedek Jantan berkata, pasaran dilihat memberikan reaksi positif terhadap jaminan BNM mengenai penilaian mata wang tempatan dan usaha kerajaan untuk menangani penyusutan ringgit.

Ini dapat dilihat pada kadar ringgit BNM yang ditutup lebih tinggi kepada 4.7675 hari ini berbanding dolar AS daripada 4.7705 sebelumnya.

Beliau berkata, UOB Kay Hian Wealth Advisors menjangkakan ringgit akan mengakhiri suku pertama 2024 pada paras 4.70.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1635/1664 daripada 3.1671/1706 ketika ditutup pada Selasa, naik berbanding pound Britain kepada 6.0199/0250 daripada 6.0362/0425 semalam, dan mengukuh berbanding euro kepada 5.1510/1553 daripada 5.1625/1679 sebelumnya.

Ringgit turut mencatat prestasi lebih baik berbanding mata wang Asean lain.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2252/2421 daripada 13.2782/2984 semasa ditutup pada Selasa dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.5405/5437 daripada 3.5419/5459 sebelumnya.

Mata wang tempatan naik berbanding peso Filipina kepada 8.47/8.49 daripada 8.48/8.49 semalam dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 303.8/304.3 daripada 304.1/304.6. - Bernama