Ringgit ditutup rendah menjelang keputusan kadar faedah AS

Pakar ekonomi menjangkakan ringgit mungkin terus lemah dalam masa terdekat ini. - Foto Bernama
Pakar ekonomi menjangkakan ringgit mungkin terus lemah dalam masa terdekat ini. - Foto Bernama
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memandangkan pelabur menantikan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS berkenaan kadar faedah negara itu pada lewat malam ini.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.7695/7735 berbanding dolar AS daripada 4.7615/7655 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) terus meraih kenaikan pada Rabu, memandangkan peserta pasaran menunggu keputusan Fed pada malam ini.

"Walaupun kami percaya Fed mungkin mengekalkan kadar faedah stabil, kenyataan (yang berpotensi) dengan kecenderungan menaikkan kadar faedah akan memberikan sokongan kepada dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, langkah Bank of Japan menaikkan had kawalan keluk hasilnya kepada satu peratus menunjukkan bank pusat Jepun itu akan kekal dengan kecenderungan menurunkan kadar faedah untuk meredakan kesan pengurangan dasar monetari yang berlebihan.

"Sehubungan itu, ringgit mungkin terus lemah dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sewaktu ditutup, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1540/1569 daripada 3.1588/1616 sewaktu ditutup pada Selasa, mengukuh berbanding euro kepada 5.0313/0356 daripada 5.0729/0772 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7897/7946 daripada 5.8014/8063.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakan tinggi berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4786/4820 daripada 4867/4902 semasa ditutup pada Selasa, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 299.2/299.6 daripada 299.7/300.1 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 13.1645/1803 daripada 13.2371/2544 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.39/8.40. - Bernama