Ringgit mungkin diniagakan dalam mod berhati-hati berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan dalam mod berhati-hati berbanding dolar AS minggu depan berikutan peniaga mencari petunjuk baharu pada data ekonomi yang lebih penting.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan akan diberikan kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) dan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2023, yang akan diumumkan, masing-masing pada 14 dan 17 November.

"Anggaran awal yang dikeluarkan bulan lepas menunjukkan ekonomi Malaysia telah berkembang pada kadar yang baik sebanyak 3.3 peratus selepas perlahan kepada 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

"Oleh itu, kami percaya ringgit akan terus berlegar sekitar RM4.70 minggu depan berikutan pasaran menunggu lebih banyak petunjuk kemungkinan peralihan pendirian monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, dalam satu nota, Kenanga Investment Bank Bhd berkata minggu depan, data IHP AS akan diteliti untuk menilai kemajuan Fed dalam mengawal inflasi.

"Sebarang bacaan di bawah konsensus dijangka mengurangkan naratif cenderung menaikkkan kadar faedah oleh Fed, yang memberi manfaat kepada ringgit.

"Selain itu, kemungkinan berlakunya penutupan kerajaan AS menjelang 17 Nov, ditambah pula dengan potensi kejutan menaik dalam bacaan KDNK suku ketiga 2023 Malaysia, juga boleh membantu meningkatkan mata wang tempatan itu,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit naik berbanding dolar AS kepada 4.7065/7105 daripada 4.7265/7320 seminggu sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan itu telah meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0232/0275 daripada 5.0318/0377 seminggu yang lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 3.1072/1101 daripada 3.1445/1484 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7480/7529 daripada 5.7734/7801 seminggu sebelumnya.

Ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding rakan serantau Asean.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4599/4631 daripada 3.4713/4756 minggu lepas dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 299.8/300.2 daripada 300.5/300.9.

Mata wang tempatan itu juga lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.42 daripada 8.42/8.44 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1108/1267 daripada 13.2332/2553 ketika ditutup pada Jumaat sebelumnya. - Bernama