Tukang gunting tergamak bunuh ibu dengan tukul

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dalam kejadian di Kampung Jawa pada Rabu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dalam kejadian di Kampung Jawa pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah tergamak membunuh ibunya dengan tukul besi dan kasut keselamatan di kediaman mereka dekat Kampung Jawa di sini pada Rabu.

Bagaimanapun perbuatan kejam suspek yang merupakan seorang tukang gunting itu membawa padah apabila dia diberkas tidak lama selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 9.45 pagi.

"Siasatan mendapati mangsa merupakan wanita warga tempatan berumur 56 tahun dan tinggal bersama suami dan suspek.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum suspek bertindak memukul mangsa menggunakan kasut keselamatan dan tukul besi sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil maklumat kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek yang berumur 33 tahun di Taman Sentosa Klang kira-kira jam 11.30 pagi.

"Ujian saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah selain memiliki dua rekod dadah dan satu rekod jenayah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Salwani Samsudin di talian 0132444234," katanya.