Bekas bintang Arsenal, Lukas Podolski sudah jadi tauke kebab, ais krim

Podolski cukup gembira dengan perniagaan ais krim dan kebab yang diusahakannya ketika ini. - Agensi
Podolski cukup gembira dengan perniagaan ais krim dan kebab yang diusahakannya ketika ini. - Agensi
A
A
A

BEKAS bintang bola sepak Arsenal, Lukas Podolski kini bergelar jutawan apabila menjalankan perniagaan kebab dan ais krim yang cukup popular di negaranya, Jerman.

Podolski yang pernah beraksi bersama The Gunners dengan merekodkan 31 gol dalam 82 penampilan 2012 hingga 2015 memiliki empayar perniagaan dengan nilai £177.5 juta (kira-kira RM1.07 bilion).

"Ada pemain yang akan terus ke lapangan golf selepas latihan dan melepak di situ sepanjang hari. Saya menjual ais krim, kebab dan baju, bergembira dan setiap orang boleh membawa sesuatu untuk dibawa pulang.

"Saya menyokong projek ini 100 peratus dan akan membantu apa yang saya mampu. Saya mahu meneruskan projek ini," katanya kepada majalah Jerman, 11 Freunde.

Podolski yang membuat 130 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman dan memenangi Piala Dunia pada 2014 lebih gembira menghidangkan kebab kepada rakan sepasukannya.

"Sejujurnya sebelum ini saya tercari-cari apa yang perlu saya lakukan untuk menjadikan hidup saya berbaloi. Akhirnya saya terfikir siapa yang tidak mahu Kebab Podolski!' ujarnya.

Podolski melancarkan jenama Ice Cream United pada 2017, dua tahun selepas meninggalkan Arsenal. Perniagaan itu diasaskan di Cologne, kelab profesional pertama yang diwakilinya.

Setahun kemudian, kedai kebab Mangal Doner pertamanya dibuka di bandar Cologne dan kini mempunyai 30 cawangan di seluruh Jerman. - Agensi

Artikel Berkaitan: