Dua lelaki Rohingya dalang seludup PATI masuk 'jerat'

Dua lelaki Rohingya yang menjadi dalang utama sindiket penyeludupan PATI diberkas pada Sabtu.
Dua lelaki Rohingya yang menjadi dalang utama sindiket penyeludupan PATI diberkas pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua lelaki etnik Rohingya yang menjadi dalang utama sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas di sini pada Sabtu.

Lelaki yang dikenali sebagai Ali dan Rahim itu ditahan secara berasingan oleh sepasukan anggota dari Pasukan Taktikal Khas Imigresen (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi ini bermula kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, pasukan operasi telah bertindak mengepung sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dipercayai dipandu tekong darat di sebuah stesen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh.

Suspek utama berjaya ditahan di sebuah stesen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh, Kelantan, Sabtu lalu.
Suspek utama berjaya ditahan di sebuah stesen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh, Kelantan, Sabtu lalu.

"Suspek yang juga pemandu dikenali Ali telah bertindak memecut kereta dan berlaku pelanggaran kecil dengan kenderaan pasukan operasi, sebelum berjaya ditahan.

"Suspek yang merupakan etnik Rohingya ini dipercayai dalang utama sindiket dan pemeriksaan lanjut dalam kereta terbabit menemui tiga wanita dan seorang lelaki warganegara Myanmar berumur antara 19 hingga 21 tahun," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, stesen minyak berkenaan sering dijadikan lokasi menunggu bas ekspres sebelum PATI dihantar ke Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ruslin, soal siasat kemudian bertindak memeriksa rumah dipercayai kediaman Ali sebelum menemui sepucuk pistol angin.

Empat lelaki warga Myanmar yang ditahan imigresen di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Kelantan pada Sabtu.
Empat lelaki warga Myanmar yang ditahan imigresen di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Kelantan pada Sabtu.

Ujarnya, susulan penahanan suspek utama itu pasukan operasi telah menyerbu sebuah rumah di sekitar Pengkalan Kubor dan berjaya menangkap seorang lagi lelaki Rohingya dikenali sebagai Rahim yang disyaki orang kanan Ali.

"Serbuan di rumah ini membawa penahanan empat lelaki Myanmar berumur lingkungan 16 hingga 27 tahun dan merampas sebuah kereta Perodua Viva yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini," katanya.

Mengulas lanjut, kata Ruslin, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket yang mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 untuk seorang PATI adalah dengan membawa masuk PATI warga Myanmar melalui laluan haram di sempadan negara pada waktu malam.

"PATI ditempatkan di rumah penampungan sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama enam bulan dan kita percaya tangkapan dua suspek utama ini, satu lagi sindiket PATI di Kelantan berjaya ditumpaskan," katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

12 Februari lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan tiga tangkapan transporter dari 'Geng Bob' dan modus operandinya yang menjadikan terminal bas di Kota Bharu sebagai lokasi transit PATI.

Berikutan itu, Sinar Harian menerusi tinjauan dan operasi bersama pihak JIM berjaya membongkar sindiket PATI menerusi serbuan di rumah penampungan di Demit, Kota Bharu pada 21 Februari lalu.