Nurul Izzah impi lebur rekod kebangsaan di Hong Kong

Nurul Izzah menunjukkan dua pingat emas yang dimenangi pada ACC 2024 di New Delhi baru-baru ini. Foto Bernama
Nurul Izzah menunjukkan dua pingat emas yang dimenangi pada ACC 2024 di New Delhi baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS berjaya membolot dua pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 baru-baru ini, bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri kini menanam misi memperbaharui rekod kebangsaan di Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara (UCI) di Hong Kong Mac depan.

Jaguh dalam pembikinan itu berkata, kejayaannya baru-baru ini telah menjadi tonik tambahan buatnya melebur rekod yang dimilikinya bagi acara ujian masa 200 meter (m) dan pecut berpasukan yang masing-masing merupakan rekod diciptanya tahun lepas.

"Mengenai UCI Hong Kong, saya sasar untuk acara ujian masa 200m team sprint saya boleh perbaiki lagi, mungkin pecahkan rekod kebangsaan.

"Untuk naik podium boleh, tapi agak susah sikit sebab saya pun masih di top 20, saya akan cuba yang terbaik," katanya ketika ditemui media di Velodrom Nasional Nilai pada Rabu.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi baru-baru ini, Nurul Izzah Izzati yang diberi julukan 'The Pocket Rocket Woman' mencipta sensasi apabila muncul juara acara keirin dan acara ujian masa 500m wanita.

Pada kejohanan yang sama, beliau juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi tiga acara melibatkan ujian masa 200m (10.903 saat), ujian masa 500m (34.226s) dan pecut berpasukan 750m (49.025s).

Pelumba kelahiran Kedah itu berharap beliau dimasukkan ke dalam Program Road to Gold (RTG) bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dalam usaha merebut tiket ke temasya sukan berprestij itu empat tahun akan datang.

Menurut Nurul Izzah Izzati, beliau telah mula mempersiapkan diri untuk ke temasya berprestij itu sejak berakhirnya Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September lepas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati berkata, beliau tekad meningkatkan kepantasannya setanding dengan kelajuan pelumba berkelas dunia untuk memastikan mampu memberi saingan sengit terhadap pelumba negara lain.

"Banyak saya perlu kerja keras untuk perbaiki masa setanding level dunia dan saiz juga saya perlu besarkan sikit, naikkan otot, berat badan saya okey, naik dari sebelum saya datang Majlis Sukan Negara, tetapi perlu naikkan otot lagi," katanya. - Bernama